
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai tanggungjawab membentuk anak-anak dengan melaksanakan Skim Cakna Aulad Negeri Kelantan, yang turut menyalurkan sumbangan kepada bayi baru lahir.
ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman, menekankan pentingnya peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mengikut acuan agama.
Katanya, persekitaran di rumah memberi kesan besar kepada pembesaran anak-anak, apatah lagi dalam era teknologi maklumat yang penuh cabaran.
“Pada zaman ini, ibu bapa perlu lebih berwaspada dengan cara teknologi digunakan oleh anak-anak. Pengaruh teknologi boleh memberi kesan mendalam terhadap pembentukan nilai dan akhlak mereka,” ujarnya.
Beliau berucap di Majlis Penyerahan Skim Cakna Aulad Negeri Kelantan DUN Bunut Payong Siri 2 di Pusat Khidmat DUN Bunut Payong, di sini.
Seramai 21 penerima hadir menerima sumbangan Skim Tabung Manjaku Cakna Aulad, yang menyediakan tabungan awal dua dirham serta sumbangan kecil wang tunai untuk bayi baru lahir.
“Walaupun nilai dua dirham yang diberikan melalui Kelantan Gold Trade (KGT) kecil, ia merupakan langkah pertama memupuk budaya menabung demi masa depan anak-anak,” kata Pengarah Program, Nurul Shazwani Matsah.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa menambah tabungan ini secara berterusan melalui platform E-D&D (Elektronik Dinar & Dirham) yang telah disediakan.
Kerajaan Negeri Kelantan, melalui pelbagai inisiatif termasuk Tabung Manjaku, bantuan perkahwinan Az-Ziwaj, bantuan pendidikan, serta Kifaalah, berusaha memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dari kelahiran hingga akhir hayat.
Usaha ini diharap dapat meringankan beban rakyat sekaligus memupuk budaya kecemerlangan dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 29/1/2025




















