
KOTA BHARU: Bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Dr Mohd Alwee Yusoff dilantik Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Kelantan yang baharu.
Perlantikan tersebut mengantikan mantan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Kelantan, Ustaz Mohamad Bakhari Hamat yang menamatkan perkhidmatannya pada Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkongsi mengenai perlantikan itu.
“Pagi tadi (semalam) menerima kunjungan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan yang baharu dilantik iaitu Dr Mohd Alwee Yusoff di Pejabat Exco Agama.
“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan al-Fadhil Dr dapat menjalankan amanah dengan penuh dedikasi. Selamat bertugas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anak jati Kampung Panjang Banggu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit itu memilik ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Bahasa Arab dan Tamadun Islam dari UM.
Dia juga pernah dilantik sebagai Pensyarah Kanan APIUM dari 2014 sehingga 2022 serta Naib Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia cawangan Kelantan dari 2000 sehingga kini.
Bahagian Dakwah Halaqat ditubuhkan dibawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) mempunyai peranan besar dalam memperkasakan gerakan dakwah.- HARAKAHDAILY 28/1/2025




















