‘Tak mati pun kalau tak minum arak, akal pun sihat’

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Keputusan diambil Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melarang penjualan arak di kawasan majoriti Muslim adalah tepat, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.

- Advertisement -

Menurut beliau, sewajarnya perkara itu disokong oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan  bukannya menggunakan kuasa untuk membatalkannya.

“Keputusan yang diambil oleh MBI itu sebagai salah satu usaha menamatkan penyakit ketagihan arak kalangan rakyat dan isu pemandu mabuk dan masalah sosial lain yang berpunca dari arak,” tegasnya ketika ditemui Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kenyataan menteri berkenaan menyarankan status quo penjualan arak di kawasan majoriti Muslim dikekalkan.

Sedangkan tegasnya, arak bukan sahaja haram disisi agama Islam, malah boleh mengakibatkan hilang akal yang waras kepada peminumnya.

“Sekiranya pihak KPKT membenarkan semula penjualan arak ni, maka ia adalah satu signal yang tidak baik. Tak matipun, kalau tak minum arak. Akal pun sihat.

“Cukup-cukuplah dengan apa yang dah diputuskan oleh MBI. Hormatilah keputusan mereka,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah kepada Ahli Parlimen Teluk Intan itu.

Justeru Dr Ahmad Fakhruddin juga sangat optimis, sekiranya larangan ini diperluaskan ke Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di negeri itu, termasuk juga negeri-negeri lain.

Tanpa arak tambahnya, negeri dan negara akan menjadi makmur dan rakyatnya bertambah sihat.

“Ini baru betul konsep madani yang sebenar,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 28/1/2025

- Advertisement -