Rejuvenasi ‘Iqomatu Solah’ setelah tiga dekad dijayakan

Ustaz Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Puluhan ribu alumni Membina Generasi Solat (MGS) seluruh Kelantan bakal membanjiri Kompleks Balai Islam Lundang di sini pada 28 Februari depan sempena sambutan bulan solat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, sambutan yang sinonim bulan Rejab itu dilaksanakan melalui program ‘Iqomatu Solat’.

Beliau berkata usaha yang dilaksanakan menerusi Bahagian Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) melaksanakan pendekatan baharu kepada masyarakat yang lebih dinamik dan inklusif.

“Justeru, melalui rejuvenasi program dengan jenama ‘Iqamatu Solat’ sempena Sambutan Bulan Solat 1446H, akan menghimpunkan seramai mungkin alumni MGS sebagai langkah menyemarak aura positif masyarakat.

“Kita yakin dengan santunan anak-anak muda ini yang menjaga solat akan memberikan perisai iman dalam berhadapan cabaran dunia tanpa sempadan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu berkata lagi, kerajaan negeri menaruh harapan yang sangat besar program tersebut sebagai sebuah institusi kecemerlangan amal Islam rakyat Kelantan.

Menurut beliau penjenamaan tersebut merupakan satu langkah sesuai saranan agama Islam bagi mencegah gejala sosial dalam masyarakat yang menjadi faktor utama pembentukan bi’ah solehah kepada negara.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Kelantan itu mengakui hasrat tersebut bukan kerja mudah dilaksanakan, namun peristiwa Isra’ dan Mikraj yang dilalui Nabi Muhammad SAW menjadi pengajaran.

Media sebelum ini melaporkan MGS yang dilancarkan melalui program kecemerlangan solat merupakan kesinambungan Sambutan Bulan Solat yang dianjurkan sejak tiga dekad pentadbiran PAS di Kelantan.

Malah, pelaksanaan program MGS mendapat sambutan dan maklum balas positif dari rakyat yang bertujuan untuk memastikan pengimarahan lebih 600 masjid dan 2,000 surau oleh golongan belia. – HARAKAHDAILY 27/1/2025

- Advertisement -