Ibrah Israk Mikraj asas Kelantan anjur Bulan Solat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan berangkat mengimarahkan malam Israk dan Mikraj bersama lebih 1,000 rakyat di Masjid Jamek Muhammadi, di sini malam tadi.

- Advertisement -

Turut hadir pada Majlis Memperingati Israk dan Mikraj Peringkat Negeri Kelantan, Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, yang turut menyambut ketibaan baginda.

Baginda berkenan menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah yang diimamkan Imam Tua 1 Masjid Jamek Muhammadi, Ustaz Hairul Azizi Mokhtar, sebelum menyertai Forum Perdana sempena majlis tersebut.

Turut hadir pada majlis itu, Tengku Temenggong, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad serta Exco-Exco kerajaan negeri dan lain-lain pimpinan.

Forum Perdana dikendalikan Ketua Pegawai Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Ustaz Ameer Azeezy Tuan Abdullah.

Forum menampilkan dua ahli panel iaitu Ahli Jamaah Ulama’ MAIK Dr. Yusri Mohamad dan Penyarah Kanan Akademi Pengajian Islam  Universiti Malaya, Ustaz Azizi Seman.

Sementara itu, Dato’ Mohd Nassuruddin dalam kenyataan sempena Israk Mikraj berkata, Peristiwa Israk dan Mikraj yang disebut dalam Surah Al-Isra’ ayat 1 menjadi asas kepada program Bulan Solat anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.

Katanya, ia bertujuan memperkukuhkan penghayatan umat Islam khususnya di Kelantan terhadap ibadah solat sebagai tiang agama yang menjadi kewajipan setiap umat Islam.

“Program ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membudayakan solat dalam kehidupan rakyat, termasuk melalui inisiatif Membina Generasi Solat yang dilaksanakan di seluruh Kelantan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/1/2025

- Advertisement -