
KOTA BHARU: Pusat Khidmat DUN Bunut Payong mencipta langkah baharu dengan menjalin kerjasama bersama Astro melalui Radio Zayan serta Yayasan Pendidikan Islam Aman.
Ahli Dewan Negeri Bunut Payong (ADUN), Shaari Mat Yaman, memaklumkan program kerjasama ini akan dimulakan sempena bulan Ramadan akan datang.
Menurutnya, kerjasama ini merupakan peluang besar untuk DUN Bunut Payong menembusi dunia penyiaran nasional.
“Saya cukup teruja untuk mengadakan kerjasama yang bermanfaat ini, sekaligus membuka peluang kami menembusi dunia penyiaran dalam negara,” katanya.
Beliau menambah, beberapa agenda akan dirangka bagi merealisasikan hasrat tersebut.
Shaari turut menyatakan penghargaan kepada pihak Radio Zayan yang akan membawa wakil DUN Bunut Payong melawat pusat penyediaan perkhidmatan televisyen dan radio Astro dalam masa terdekat.
Terdahulu team Radio Zayan mengunjungi Shaari di Pejabat DUN kelmarin
Sementara itu, Pengurus Penjenamaan Radio Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor, menyambut baik kerjasama ini.
Beliau telah berkhidmat di stesen radio Islam itu sejak ia dilancarkan pada tahun 2017.
Antara program yang dirancang adalah penerbitan rancangan melibatkan tokoh dan selebriti tanah air yang dijangka menarik perhatian pelbagai pihak.
Kerjasama ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan memperluaskan mesej kebaikan melalui medium penyiaran. – HARAKAHDAILY 27/1/2025











