
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pertumbuhan ekonomi Kedah positif dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.6 peratus pada 2023 dengan nilai tambah sebanyak RM51.8 bilion berbanding RM51 bilion pada tahun sebelumnya.
Dalam pada itu ujarnya lagi, sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan juga telah menyumbang sebanyak 85.4 peratus kepada pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negeri Kedah.
Mengulas lanjut Sanusi menegaskan, sektor perkhidmatan berjaya memacu ekonomi negeri itu dengan sumbangan sebanyak 56.2 peratus, diikuti sektor pembuatan dan pertanian di mana masing-masing menyumbang sebanyak 29.2 peratus dan 10.7 peratus.
Tidak terkecuali juga katanya dengan sektor pembinaan sebanyak 3.0 peratus, sektor perlombongan dan pengkuarian pula menyumbang sebanyak 0.2 peratus.
“Sektor perkhidmatan pula berkembang 4.0 peratus dengan merekodkan nilai ditambah sebanyak RM29.1 bilion berbanding RM28.0 bilion pada tahun 2022.
“Pertumbuhan ini sebenarnya didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan, minuman, penginapan serta utiliti, pengangkutan termasuk juga penyimpanan, juga ICT yang masing-masing meningkat 5.3 peratus dan 5.0 peratus,” jelasnya lagi
Meskipun Kedah ujarnya, telah menunjukkan pencapaian pelaburan yang memberangsangkan sejak beberapa tahun lepas, namun pencapaian itu perlu dipertingkatkan ke tahap lebih baik di masa akan datang.
Dalam pada itu, Sanusi juga memaklumkan, kerajaan negeri
berhasrat untuk meningkatkan peratusan sumbangan negeri kepada KDNK negara sebanyak 10 peratus agar seimbang dan setaraf dengan negeri-negeri maju yang lain.
Hasrat serta cita-cita itu katanya, perlulah mendapat sokongan daripada Kementerian Ekonomi dan berharap Kedah diberi tumpuan yang lebih di bawah Rancangan Malaysia Ke Tiga Belas (RMK-13) ini.
“Kerajaan negeri bercita-cita serta berhasrat untuk meletakkan Kedah sebaris dengan negeri-negeri lain yang sudah maju terutamanya di Lembah Klang.
“Kedah juga telah menunjukkan peningkatan yang positif terutamanya dari sudut pelaburan sejak Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang dimulakan pada 2021 lalu,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian pada ucapan sempena Program Sesi Libat Urus RMK-13, yang dihadiri Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli, di Dewan Seri Mentaloon, semalam.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, Kedah komited bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuhkan tahap keterjaminan dan keselamatan bekalan makanan negara khususnya dalam pengeluaran beras.
“Setiap tahun Kedah menyumbang lebih 40 peratus kepada keperluan beras negara dengan pengeluaran padi di negeri ini sebanyak 1.0 tan metrik setahun.
“Pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima kali dalam dua tahun yang disasarkan dapat meningkatkan pengeluaran padi sebanyak 25 peratus berbanding pengeluaran sekarang.
“Jika usaha ini dapat direalisasikan sepenuhnya, ia akan meningkatkan pengeluaran padi di Kedah kepada 1.25 juta tan metrik setiap tahun tanpa perlu kepada perluasan kawasan tanaman baharu,” tambahnya.
Sementara, dalam masa yang sama katanya, keperluan infrastrukur seperti pengairan juga perlu dititikberatkan khususnya di kawasan luar jelapang kerana kawasan-kawasan itu juga menyumbang lebih daripada 8 peratus dari keseluruhan 43 peratus beras untuk negara.
“Inisiatif melalui penambahbaikan infrastruktur pengairan dan saliran, penggunaan teknologi dalam pertanian, pengembangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih serta pemerkasaan modal insan petani muda.
“Termasuk juga pemerkasaan tanah-tanah milikan agensi bagi maksud pertanian secara keseluruhan perlu diberi perhatian penuh,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi.
Langkah-langkah berkenaan jika direalisasikan, beliau yakin akan memberi sumbangan besar kepada usaha kerajaan untuk memastikan keterjaminan makanan bagi penduduk negara ini pada masa akan datang dan mengurangkan pergantungan pada sumber makanan yang diimport.
Jelas Sanusi, negara sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan selain meningkatkan sumber makanan tempatan dan mengurangkan import kerana dunia sedang beranjak kepada kekurangan sumber makanan berbanding pertambahan populasi yang sangat besar.
Sekiranya perkara itu ujarnya tidak ditangani dengan bijak, tidak mustahil akan mencetuskan masalah kelangsungan hidup manusia di muka bumi ini pada masa akan datang.
Justeru usaha-usaha keterjaminan makanan tegasnya, perlu ditangani dengan sebaik-baiknya kerana makanan adalah keperluan asas setiap yang hidup.
“Inisiatif penanaman padi lima kali dua tahun ini juga dapat memberi manfaat peningkatan pendapatan kepada hampir 60,000 orang pesawah di Kedah yang rata-ratanya berpendapatan rendah.
“Selain itu mereka juga perlu dibantu melalui lain-lain subsektor tanaman seperti sayuran, buah-buahan, ternakan dan akuakultur,” kata beliau.
Dalam pada itu tegasnya, mendepani persaingan guna tanah untuk pembangunan yang semakin sengit, ditambah dengan fenomena perubahan iklim kian mengancam kehidupan, kaedah pertanian perlu diperkasakan dengan menggunakan teknologi terkini sepenuhnya atau ‘smart farming’.
Penguasaan itu ujar beliau, antara jalan penyelesaian namun memerlukan komitmen dan kolaborasi semua pihak serta perlu mendapat perhatian di bawah RMKe-13 ini. – HARAKAHDAILY 21/1/2025




















