Kerajaan PH-BN ‘buta warna’: Zahid melucukan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, menyifatkan kenyataan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kerajaan Madani bersikap ‘buta warna’ dalam melaksanakan program untuk rakyat secara sama rata sebagai melucukan.

- Advertisement -

Ustaz Irsyad Syafiq Berhanuddin berkata, kenyataan yang dibuat Timbalan Perdana Menteri itu semasa Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kelmarin menunjukkan masih belum beradaptasi sebaiknya dengan zaman dunia tanpa sempadan ini.

Menurut Zahid, negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menerima peruntukan lebih besar daripada KKDW berbanding negeri-negeri yang dikuasai kerajaan PH-BN.

“Sebelum menerimanya bulat-bulat, perlu kita fahami bahawa negeri SG4 (Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu) ialah negeri pertanian dan merupakan peranan agensi bawah seliaan KKDW.

“Logiknya sudah kita fahami faktor peruntukan KKDW banyak disalurkan kepada negeri SG4. Namun demikian, angka terperinci bagi jumlah peruntukan tidak dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau yang juga Exco Pemuda PAS Malaysia, tuduhan Zahid bahawa negeri SG4 menerima peruntukan berlebihan telah beberapa kali diulang tanpa fakta kukuh, sedangkan peruntukan itu berpadanan dengan keperluan semasa.

“Sukar untuk mendakwa bahawa nilainya adalah melebihi Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak. Lebih-lebih lagi, skrip ini sudah acap kali diulang dengan fakta yang terbukti tersasar.

“Bahkan, persoalan pihak mana dan kelompok mana yang akan mendapat manfaat daripada peruntukan besar ini perlu diperincikan untuk melihat kewajaran tindakan PH-BN.

“Hal ini kerana, kita sedia maklum bahawa penduduk di tanah rancangan FELDA merupakan pengundi sasaran BN dalam pilihan raya dan PRK Kemaman telah membuktikan bagaimana layanan Zahid kepada penduduk FELDA. Apa nak dihairankan?

“Asasnya, peruntukan yang banyak daripada KKDW kepada SG4 tidak perlu dibangkitkan kerana ianya hampir serupa dengan peruntukan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan. Bukankah kawasan yang dikuasai PH-BN banyak mendapat manfaatnya?” soalnya lagi.

Mengulas lanjut, Irsyad menegaskan bahawa jika Kerajaan PH-BN serius mahu menunjukkan prinsip kesamarataan dalam peruntukan, hak Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang dinafikan perlu dikembalikan.

“Jika benar Kerajaan PH-BN serius dalam pelaksanaan kesamarataan peruntukan, buktikannya melalui peruntukan kepada Ahli Parlimen PN yang dinafikan peruntukan dan salurkan hak royalti minyak yang terbukti milik Terengganu. Barulah Zahid boleh mendabik dada bahawa kerajaan PH-BN benar-benar ‘buta warna’,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2025

- Advertisement -