Projek ‘wishlist’ Kedah wajar dipertimbang RMK-13

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan wajar mempertimbangkan cadangan projek-projek ‘wishlist’ negeri Kedah pada Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK-13) ini, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Antara projek-projek tersebut, menurutnya adalah membina jalan baharu dan laluan bertingkat (flyover), menaiktaraf jalan dan bangunan, membina jambatan baharu dan klinik kesihatan baharu.

Termasuk juga katanya beberapa lagi projek-projek lain yang dilihat menjadi keperluan kepada rakyat negeri ini.

Dalam pada itu jelasnya, kerajaan negeri kini juga memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan sektor pembuatan khususnya dari sudut pemantapan ekosistem pelaburan dan industri.

“Tumpuan itu, termasuk juga kepada pengembangan kawasan-kawasan industri baharu dan penjanaan ‘talent pool’ yang berkualiti dan mencukupi.

“Sektor pembuatan merupakan yang kedua terbesar di Kedah dan pada 2023 telah berjaya menyumbang 29.2 peratus pada keluaran dalam negeri kasar KDNK negeri itu,” jelasnya pada Program Sesi Libat Urus di Dewan Seri Mentaloon, semalam.

Sementara dalam konteks ‘talent pool’ katanya, kerajaan negeri berharap usaha dan perhatian dapat diberi di bawah RMK-13 khususnya melahirkan para graduan berkemahiran tinggi dan profesional dalam bidang-bidang yang memerlukan seperti bidang Sains, Kejuruteraan dan Teknikal.

“Kita sentiasa komited dengan perancangan pembangunan demi memastikan pencapaian ekonomi, sosial dan infrastruktur yang seimbang yang dapat dinikmati oleh rakyat negeri ini.

“Oleh itu, kesempatan kehadiran Menteri Ekonomi ke Kedah, wajar rasanya cadangan projek-projek ‘wishlist’ Negeri Kedah dipertimbangkan pada RMK-13 ini,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, ujar Sanusi, pihaknya juga mengemukakan cadangan mewujudkan ‘Renewable Energy Zon’  iaitu satu zon ekonomi khas bagi pembangunan projek tenaga solar di Kedah dengan pelbagai pakej insentif khas yang boleh disediakan Kerajaan Persekutuan.

Tegasnya, kerajaan negeri percaya usaha itu dapat menyokong dan merealisasikan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerana Kedah menerima cahaya matahari antara tertinggi di Malaysia, yang merupakan elemen terpenting dalam penjanaan tenaga solar.
 
Sanusi turut mempelawa Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli dan delegasinya merasa makanan yang enak serta unik di Kedah, sesuai dengan kehadiran mereka sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

“Dato’ Seri, kalau tak pernah rasa makanan warisan kita (Kedah)
bolehlah cuba seperti emping atau ringi, bunga pudak, gedung chak dan sebagainya. Dangai saya tahu Dato’ Seri pernah makan dah. Sedap, kan?” selorohnya.

Program Sesi Libat Urus tersebut turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zubir Ahmad; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Zunika Mohamed.

Serta disertai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-Ahli Parlimen Kedah serta ketua-ketua agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri. – HARAKAHDAILY 21/1/2025

- Advertisement -