
KOTA BHARU: Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat dekat sini dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan dijadikan salah satu lokasi sebagai Kampung Angkat Madani.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pengumuman tersebut memberi impak besar kepada kehidupan penduduk tempatan.
Menurut beliau, banyak kemudahan disediakan termasuk aktiviti psikososial, pemeriksaan kesihatan, penubuhan pusat aktiviti warga emas (PAWE) dan pasukan perlindungan kanak-kanak.
“Pasir Pekan Tengah dipilih Kampung Angkat Madani di bawah Parlimen Tumpat yang merupakan kampung Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Dr Maziah Che Yusoff.
“Alhamdulillah orang Pasir Pekan Tengah dan sekitar ada tempat untuk bersosial pada waktu siang atau malam selepas ini sambil merasai angin di tepi Sungai Kelantan,” katanya.
Dalam satu hantaran, beliau hadir pada program Integrasi Kasih Madani Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sempena penyerahan Kampung Angkat Madani.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri turut dihadiri Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.
Sebelum ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta melaksanakan program itu di Pasir Pekan Tengah, Tumpat, Batu Papan Gua Musang, Jenal Kuala Krai dan Aril di Ketereh.
Kampung Angkat Madani merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi memberi manfaat optimum serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Bagi memastikan hasrat tersebut tercapai, program terbabit dilaksanakan melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan, badan bukan kerajaan serta sukarelawan. – HARAKAHDAILY 21/1/2025











