Kedudukan berdasar iman dan amal, bukan keturunan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa kedudukan seseorang di sisi Allah ditentukan oleh iman dan amal perbuatannya, bukan berdasarkan keturunan atau status keluarga.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu menjelaskan bahawa meskipun seseorang itu adalah anak kepada alim ulama atau tok guru yang terkenal, penilaian utama di akhirat kelak adalah iman dan amalan individu tersebut.

“Seperti kata pepatah Arab, seorang lelaki sejati tidak hanya membanggakan kehebatan ayahnya, tetapi membuktikan dirinya sendiri melalui amal dan perbuatannya,” ujarnya dalam media sosial miliknya semalam.

Mohd Amar mengingatkan mengenai peristiwa Nabi Nuh AS yang berdoa untuk keselamatan anaknya semasa banjir besar, namun Allah menegaskan bahawa anaknya bukan dari keluarganya dari sudut agama kerana amalannya tidak soleh.

“Hubungan darah semata-mata tidak menjadikan seseorang itu sebahagian daripada keluarga yang beriman jika akidahnya menyimpang.

“Anak Nabi Nuh menolak ajaran ayahnya dan lebih memilih untuk bersama kaum kafir yang tidak mempercayai Allah. Walaupun anak itu darah daging Nabi Nuh, akidah dan amalannya yang tidak benar menyebabkan dia terkeluar daripada lingkungan keluarga secara rohani.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya agama sebagai asas kehidupan, kerana akidah akan menjadi penentu utama di akhirat kelak,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa dalam kehidupan hari ini, situasi serupa berlaku apabila anak-anak lebih terpengaruh dengan rakan-rakan yang menyesatkan berbanding mendengar nasihat ibu bapa.

“Agama adalah garis pemisah yang menentukan siapa yang benar-benar termasuk dalam keluarga kita, bukan hanya hubungan darah semata-mata.

“Jika seseorang hidup dalam syirik atau menolak ajaran Islam, ia memisahkan mereka daripada kumpulan orang beriman, walaupun hubungan biologi wujud,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau menceritakan bahawa selepas peristiwa banjir besar, Nabi Nuh dan pengikutnya membina semula kehidupan.

Menurutnya, mereka bercucuk tanam, memelihara ternakan, dan meneruskan generasi baharu.

“Generasi selepas itu berkembang menjadi kaum-kaum seperti kaum ‘Ad dan Tsamud yang tinggal di Tanah Arab.

“Kaum-kaum ini, yang pada awalnya mengikuti jalan yang benar, akhirnya kembali kepada kesesatan. Maka Allah mengutuskan lagi Nabi-nabi untuk membimbing mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -