
KUALA KEDAH: Pertandingan memancing ikan toman yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat dijangka akan membantu merancakkan lagi Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak berkata, pertandingan itu juga secara tidak langsung mempromosikan Sungai Anak Bukit kepada para peserta dan pelancong khususnya luar Kedah.
“Saya telah berbincang dengan beberapa pengusaha bot toman dan udang galah berkenaan pertandingan ini.
“Cadangan ini juga sebagai menyahut seruan kerajaan negeri untuk menjayakan TMK 2025,” ulas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Ujar Rashidi lagi, pihaknya pernah mengadakan pertandingan seperti itu pada tahun lepas dan mendapat sambutan menggalakkan dari seluruh negara.
Oleh itu katanya, kemungkinan sambutan peserta pada tahun ini akan lebih meriah memandangkan 2025 ini merupakan Tahun Melawat Kedah.
“Acara ini bukan sahaja dapat mempromosikan Sungai Anak Bukit, sebaliknya merancakkan sektor perniagaan yang lain seperti rumah tumpangan, hotel dan gerai-gerai jualan khususnya berhampiran Sungai Anak Bukit.
“Ini kerana peserta perlu menginap sekurang-kurang dua malam.
Peserta juga akan berada di sungai sehari suntuk dan bila selesai mereka boleh menjamu selera di gerai-gerai berhampiran sungai,” jelasnya lagi.
Berkenaan tarikh, beliau belum menetapkan lagi kerana menunggu pandangan dari pihak yang arif berkenaan ikan toman kerana selalunya pertandingan akan diadakan ketika ikan tersebut aktif.
“Lagipun ikan toman ni, bukannya ada sepanjang tahun. Kena tunggu ‘time’ yang sesuai,” tambahnya.
Dalam pada itu, pertandingan memancing toman ini maklumnya bukanlah seperti kebanyakan pertandingan memancing.
Katanya, pertandingan dibuat secara berkumpulan, manakala bot disediakan oleh pihak penganjur.
Oleh itu beliau berharap, perancangan itu akan membuahkan kejayaan, sekali gus dapat membantu sektor perniagaan yang lain dan merancakkan lagi TMK2025. – HARAKAHDAILY 13/1/2025




















