Menteri Besar terima kunjungan Duta Besar China

Samsuri (tengah) bertukar cenderamata bersama Ouyang Yujing, di Kediaman Seri Iman, hari ini. 
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing bersama delegasi di Kediaman Seri Iman, di sini hari ini. 

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertemuan itu dimanfaatkan untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai pelbagai bidang kerjasama, termasuk peluang ekonomi, pelaburan, pendidikan dan pelancongan. 

Beliau berharap agar pertemuan itu menjadi titik permulaan kerjasama erat antara Terengganu dan China dalam pelbagai bidang. 

“Semoga usaha ini memberi manfaat buat negeri dan rakyat Terengganu khususnya, insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Semalam, Kedutaan Republik Rakyat China menerusi Yayasan Ikram Malaysia menyumbang barangan keperluan asas bernilai RM50,000 kepada 500 penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah ini.

Antara barangan keperluan yang diberikan adalah toto, bantal, selimut dan tuala.

Menurut Ouyang, sejak beberapa tahun ini, Kedutaan China telah bekerjasama dengan jabatan dan pertubuhan awam di Malaysia untuk melakukan aktiviti kebajikan.

Terdapat juga badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menjadi rakan kerjasama penting kepada kedutaan sejak sekian lama dan sering bekerjasama dalam pelbagai inisiatif.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih juga atas keprihatinan kepada mangsa banjir di Terengganu di samping menghulurkan bantuan barangan keperluan bernilai RM50,000 kepada 500 mangsa banjir di Kampung Pulau Rusa,” kata Samsuri. – HARAKAHDAILY 13/1/2025

- Advertisement -