
KOTA BHARU: Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang bakal dibentangkan semula Julai ini dibuat dengan teliti agar tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak kelak.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri juga setuju untuk menetapkan tarikh tersebut sesuai dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga sudah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dipengerusikannya.
“Draf kerja pertama pindaan enakmen kini sedang diusahakan oleh Jawatankuasa Teknikal Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah ini dan sudah dipersetujui siap pada hujung bulan depan.
“Bagi pembentangan enakmen ini pada bulan depan itu mungkin tak sempat jika melihat kepada jadual persidangan DUN, kita jangka akan dapat dibentangkan pada Julai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih tahun 2024 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia Kompleks Kota Darulnaim, di sini petang semalam.
Pada Mac tahun lalu DUN Kelantan meluluskan usul bagi mengubal semula 16 kesalahan dalam enekmen tersebut yang diisytihar batal oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari tahun sama.
Selepas itu kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Syariah Kelantan bagi melakukan draf sistem perundangan tersebut untuk dibentangkan dalam DUN Kelantan.
Malah Konvensyen Perundangan dan Pemantapan Syariah turut diadakan bagi mendapatkan input dari ahli cendiakawan mengenai 16 seksyen yang terbatal dan mengubalkan undang-undang syariah.
Konvensyen terbabit dirasmikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan ucaptamanya pula disampaikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. – HARAKAHDAILY 13/1/2025




















