
KOTA BHARU: Mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) diiktiraf sebagai aset berharga negeri dan negara.
Mereka akan meneruskan kesinambungan pembangunan negeri dan negara, selain menjadi pewaris kepimpinan serta agen perubahan masa depan Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, mahasiswa KIAS memiliki potensi besar untuk mencorakkan pembangunan negeri dengan ilmu dan kepimpinan yang diterapkan sepanjang pengajian mereka.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan taklimat hala tuju KIAS dan Amanah Yayasan Islam Berhad (AYSB).
Mesyuarat tersebut diadakan bagi menambah baik pembangunan holistik mahasiswa KIAS serta mengenal pasti ruang untuk penambahbaikan.
“Tumpuan utama diberikan kepada pembangunan infrastruktur, pemantapan fakulti, kebajikan pelajar dan kakitangan, serta penambahbaikan program pengajian yang ditawarkan,” katanya di sini semalam.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuhkan jaringan akademik dan usaha pengantarabangsaan bagi memperluas peluang dan pendedahan kepada mahasiswa.
“Usaha ini bertujuan melahirkan graduan KIAS yang cemerlang, berwawasan, dan mampu menyumbang kepada masyarakat, sekali gus memartabatkan Kelantan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2025












