Terengganu giat didik rakyat hidup syariat Islam

- Advertisement -

SETIU: Pelancaran program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) 2025 di daerah Setiu semalam sebagai usaha mendidik rakyat Terengganu memahami dan menghayati kepentingan syariat Islam dalam kehidupan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, karnival itu merupakan inisiatif kerajaan negeri yang akan dilaksanakan di setiap daerah setiap tahun.

“Alhamdulillah, kita memulakan tahun baru ini dengan azam baru. Jadi malam ini adalah pelancaran sulung untuk daerah Setiu. Tujuan kita mengadakan karnival ini ialah untuk mengetengahkan ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ sebagai satu tema yang menunjukkan keseriusan kerajaan negeri untuk mendidik rakyat.

“Peri penting syariat Islam dalam kehidupan kita yang merangkumi semua aspek dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran karnival tersebut, di Masjid Kampung Putera Jaya, di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Rizal Mamat dan Pegawai Agama Daerah Setiu, Kamal Mamat.

Tambah beliau, karnival itu juga bukan sahaja bertujuan memperkenalkan syariat Islam, malah untuk menepis persepsi negatif terhadap agama Islam. 

“Syariat Islam ini sebenarnya indah, mudah, dan fleksibel untuk kita laksanakan dalam kehidupan,” ujarnya.

Beliau berkata, kehadiran masyarakat setempat amat menggalakkan dan turut mendapat penyertaan agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan lain-lain.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden empat kematian akibat penyalahgunaan bahan terlarang di konsert PinkFish baru-baru ini, Khalil berkata, hiburan tidak diharamkan dalam Islam, namun ia mesti berpandukan syariat agar tidak melampaui batas.

“Kita mahu nyatakan di sini bahawa Islam tidak mengharamkan hiburan kerana Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah untuk dilaksanakan dalam kehidupan kita dan sesuai dengan fitrah manusia.

“Hiburan adalah satu benda yang menjadi fitrah manusia. Namun begitu apa yang Islam lakukan ialah memandu kita supaya tidak terbabas dalam hiburan sama ada hiburan yang melampau sehingga menjadi matlamat dalam kehidupan bukan lagi sebagai satu wasilah.

“Islam juga tidak mengharamkan hiburan sepenuhnya. Di sana ada hiburan-hiburan yang diizinkan dalam Islam. Itulah konsep wasatiyyah dan itulah apa yang kita laksanakan di Terengganu antaranya melalui pendekatan ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ ini.

“Kita mahu nyatakan bahawa dalam Islam ada hiburan tetapi bukan sebagaimana yang kita lihat baru-baru ini, yang berlaku itu hiburan yang melampau sehingga sudah menjadi matlamat dalam kehidupan seolah-olah hiburan ni macam makan minum tidak boleh tinggal, itu tak boleh.

“Mereka bila tak ada batas dalam hiburan maka pergaulan bebasnya, ambil benda-benda yang memabukkannya, maka berlakulah benda yang di luar kawalan sehingga menyebabkan kematian.

“Jadi kita lihat benda ini sangat serius yang perlu ditangani secara bersama oleh semua pihak,” katanya beliau yang juga ADUN Batu Buruk menyelar sikap Kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak serius menangani isu hiburan tanpa kawalan.

“Itu yang malangnya kepada negara kita apabila tidak ada batas. Kerajaan Madani yang kita lihat juga sangat longgar dalam aspek hiburan ni sehingga tidak ada satu garis panduan yang boleh menjaga dan memelihara anak muda kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2025

- Advertisement -