
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyambut baik cadangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) agar semua individu bekerja sendiri mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan golongan terbabit membuat caruman skim itu.
Bagaimanapun ujarnya, kerajaan negeri sehingga kini tidak berhasrat untuk melaksanakan skim tersebut sebagai syarat wajib bagi pengeluaran lesen penjaja dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kerajaan Persekutuan juga menawarkan pelbagai insentif bagi mengalakkan peniaga pekerja sendiri mencarum dalam skim ini, walaubagaimana pun kita perlu buat kajian dahulu arahan ini.
“Kita juga belum berhasrat menguatkuasakan skim ini sebagai syarat wajib pengeluaran lesen penjaja dalam seluruh PBT di Kelantan,” katanya dalam satu kemaskininya di Facebook kelmarin.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu menerima kunjungan hormat oleh PERKESO Kelantan diketuai Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob dan Timbalannya, Wan Izani Wan Isa.
Selain itu kerajaan negeri diberikan taklimat oleh PERKESO Kelantan mengenai cadangan pihaknya agar SKSPS dijadikan syarat wajib bagi peniaga mendapatkan lesen penjaja dari PBT di Kelantan.
Media sebelum ini melaporkan lebih 90 peratus daripada 177,000 orang bekerja sendiri (OBS) di Kelantan tidak membuat caruman walaupun serendah RM23.30 setahun selepas diberikan subsidi kerajaan.
Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob berkata sehingga kini hanya 10,300 yang memanfaatkan skim tersebut sedangkan ia menawarkan faedah perubatan, faedah hilang upaya dan banyak lagi. – HARAKAHDAILY 10/1/2025





















