Kelantan rangka dasar sukan mesra syariah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK) memulakan inisiatif bagi merangka dasar sukan mesra syariah.

- Advertisement -

Bagi mencapai hasrat itu Pengarah SPARK, Dr Mohd Huzairi Awang berkata, beberapa pertemuan diadakan bersama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).

Selain menurut beliau lagi, beberapa siri perbincangan diadakan termasuk Persuruhjaya Sukan Malaysia bagi memastikan hasrat tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Perbincangan ini bertujuan untuk merangka dasar sukan mesra syariah yang selaras dengan prinsip syariah, serta memenuhi keperluan semasa dengan pendekatan yang lebih inklusif.

“Fokus utama untuk mendapatkan pandangan, maklum balas, dan cadangan berkepentingan, bagi memastikan pelaksanaan dasar ini dengan lebih efektif,” katanya.

Kenyataan dalam satu hantaran di laman sosial _Facebook_ kelmarin dilihat turut dikongsikan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad.

Turut hadir Penolong Pengarah SPRAK, Ahmad Mustapha Ab Azai dan Pegawai Khas Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Ahmad Shamsul Azri Abas.

Selain Dekan Fakulti Sains Sukan dan Eksesais, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Abdul Halim Mokhtar serta Ketua Jabatan al-Quran dan al-Hadith APIUM, Prof Dr Ishak Sulaiman.

Kelantan sebelum ini menyatakan hasrat untuk melaksanakan dasar itu selepas dipilih tuan rumah penganjuran temasya dwi-tahunan, Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2028.

Kerajaan negeri juga memanfaatkan peruntukan RM276 juta untuk membina enam kemudahan di kompleks sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh dan pusat akuatik di Madinah al-Salam, di sini.

Projek pembangunan kompleks sukan negeri merupakan komponen utama dalam permohonan negeri melalui kerajaan pusat di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). – HARAKAHDAILY 10/1/2025

- Advertisement -