#KasihSemenyih ruang Ustaz Nushi santuni warga

DUN Semenyih melaksanakan program Jelajah Bakti Demi Selangor secara konsisten dua bulan sekali mengikut zon atas nama Semarak Hijau. (FOTO: FB/Nushi Mahfodz)
- Advertisement -

HULU LANGAT: Jelajah Bakti Demi Selangor peringkat PAS Kawasan Hulu Langat di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan Dusun Tua telah mencatatkan kejayaan yang membanggakan.

- Advertisement -

ADUN Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, program itu adalah kesinambungan daripada inisiatif Semarak Hijau bertujuan mendekati dan menyantuni penduduk setempat, serta memberi khidmat bakti dan kebajikan secara langsung.

“Alhamdulillah kita di DUN Semenyih sebenarnya telah melaksanakan secara konsisten dua bulan sekali mengikut zon atas nama Semarak Hijau sebelum daripada ini.

“Lebih-lebih lagi dengan taklifan dan amanah sebagai ADUN Semenyih, aktiviti seperti ini sebenarnya perlu sentiasa menjadi rutin bagi Pusat Khidmat ADN Semenyih.

“Kini, pelaksanaan di peringkat parti telah dijenamakan semula kepada #BaktiDemiSelangor,” katanya menerusi kenyataan di _Facebook_, semalam.

Nushi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, berkata pihaknya juga fokus kepada program #KasihSemenyih bermula di Taman Sri Tanjung, membawa ke Kampung Pasir dan berakhir di Taman Tasik Semenyih.

“Alhamdulillah, sebanyak 15 buah rumah telah dikunjungi dan ziarah selesai sekitar jam 12:30 tengah hari.

“Sepanjang program ini, kami bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat, termasuk warga emas yang uzur, penduduk yang sedang sakit, pemimpin masyarakat setempat, serta golongan muallaf,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat berkata, melalui kerjasama ini, PAS dapat mendekati masyarakat dan memperlihatkan komitmen dan kesungguhan parti dalam melaksanakan tanggungjawab sosial.

Beliau berkata, dalam masa sama sepasukan jentera utama ditugaskan untuk fokus menyantuni dan mendapatkan maklum balas penduduk di Taman Semenyih Permata.

“Syukur, respon dan idea yang diterima sangat positif dan konstruktif. Alhamdulillah, kerjasama erat antara PAS Kawasan Hulu Langat, Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD) Semenyih dan Pusat Khidmat DUN Semenyih amat penting.

“Hal demikian untuk memastikan keberkesanan program seperti ini, serta memperlihatkan komitmen PAS dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar program seperti itu dapat dilaksanakan dengan lebih meluas pada masa hadapan, terus membawa kebaikan dan kemajuan kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 10/1/2025

- Advertisement -