Maktab Mahmud Bandar Baharu terus berkembang

Kunjungan ke Pejabat Agama Daerah Bandar Baharu
- Advertisement -

KULIM-BANDAR BAHARU: Kunjungan Pengerusi Jawatan Pendidikan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat ke Maktab Mahmud Bandar Baharu, antara lain untuk meninjau beberapa isu berkaitan tanah dan pembangunan di situ.

- Advertisement -

Menurutnya, Maktab Mahmud Bandar Baharu asalnya sebuah madrasah dikenali sebagai Ittihadiah Wataniah dan ditubuhkan penduduk tempatan pada 1940 untuk memenuhi keperluan pendidikan agama kawasan sekitar.

“Dengan usaha dan sokongan masyarakat sekitar, madrasah ini terus berkembang sehingga mendapat pengiktirafan sebagai salah satu cawangan Maktab Mahmud pada tahun 2004 dan terus menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada 2014,” katanya di sini.

Dalam pada itu Dato’ Azam juga teruja dan tertarik dengan suasana yang tenang dan damai di maktab tersebut dikelilingi kehijauan pepohon serta pemandangan alam mendamaikan.

Suasana sedemikian katanya, bukan sahaja menyegarkan minda, malah memberi inspirasi kepada para pelajar untuk menuntut ilmu. 

“Hari ini, Maktab Mahmud Bandar Baharu terus menjadi pusat pendidikan yang berjaya melahirkan generasi pelajar yang seimbang, berilmu, dan berakhlak mulia.

“Bukan sahaja menjadi pilihan anak-anak Kedah sebaliknya para pelajar daripada Perak dan Pulau Pinang,” katanya lagi.

Justeru beliau amat berharap kemajuan pendidikan di situ tidak hanya tertumpu pada pendidikan agama, tetapi juga merangkumi mata pelajaran akademik untuk memastikan para pelajar memiliki asas kukuh dalam kedua-dua bidang.

Sementara dalam perkembangan yang lain, Dato’ Mohd Azam turut melakukan kunjung hormat ke Pejabat Agama Daerah Bandar Baharu dan kehadirannya disambut Pegawai Agama Daerah Bandar Baharu, Syeikh Mohd Fadhil Ab Rahman.

Antara lain pada kunjungan tersebut, beliau mengharapkan pengurusan Agama dan Kehakiman Syariah di Daerah Bandar Baharu berjalan dengan baik untuk memastikan sistem kehakiman yang adil serta efisien dan menjaga kepentingan umat Islam.

“Tanggungjawab ini bukan sahaja memerlukan kepakaran dan dedikasi, tetapi juga hati yang ikhlas dalam mentadbir dan mengurus.

“Dengan kerjasama yang erat antara pejabat agama dan mahkamah syariah, kita dapat memastikan setiap urusan berkaitan agama dan undang-undang syariah dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada semua pihak,” ujar beliau.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Ts Dr Mohd Suffian Yusoff dan Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd Noor Ismail. – HARAKAHDAILY 7/1/2025

- Advertisement -