
KOTA BHARU: Kelantan menyatakan komitmen untuk menyokong sasaran Kerajaan Pusat bagi mengamit kedatangan 35.6 juta pelancong antarabangsa sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, ia satu inisiatif mempromosikan Malaysia dan Kelantan khususnya destinasi pelancongan.
Malah kata beliau, negeri tersebut mempunyai pelbagai keunikan kesenian dan kebudayaan yang mampu menjadi tarikan selain keindahan alam sekitar masih belum diterokai sepenuhnya.
“Dalam usaha menyokong dan memperkukuhkan sektor pelancongan, Kelantan sebagai negeri yang kaya dengan budaya dan warisan, sentiasa bersedia menyambut pelancong dengan tarikan dan keindahan pelancongan.
“Di samping kesenian dan kebudayaan yang unik, serta tarikan alam semula jadi, kita jayakan kempen TMM2026 dan bangunkan industri pelancongan kita,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas itu mewakili Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud menghadiri majlis peluncuran kempen TMM2026 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Majlis yang diadakan di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disempurna Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pada majlis itu turut diperkenalkan tema ‘Malaysia Destinasi Lestari dan Kaya Budaya’, lagu iaitu ‘Surreal Experiences’ dan beruang madu, Wira dan Manja sebagai maskot rasmi kempen TMM2026.
Program tahunan kelolaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu meletakkan sasaran ketibaan seramai 35.6 juta pelancong global selain menjana pendapatan negara RM147.1 bilion. HARAKAHDAILY 7/1/2025




















