KDNFC II tetap berjuang sehingga akhir

- Advertisement -

KOTA BHARU: KDNFC II menegaskan komitmen mereka untuk terus berjuang dalam saingan Piala MFL 2024/25, meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang musim.

- Advertisement -

Pengurus pasukan, Zahar Ab Kadir berkata, skuad kendalian Khairan Eroza Razali telah membuat persiapan rapi sebelum bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya, hari ini.

Menurut Zahar, biarpun pasukan menghadapi kekangan tertentu, semangat juang tinggi akan menjadi pemangkin untuk mencipta sesuatu yang positif dalam perlawanan tersebut.

“Semua pihak sedia maklum dengan situasi semasa kelab, tetapi KDNFC II tetap akan meneruskan perjuangan untuk memburu kemenangan ke atas pasukan utara itu.

“Saya yakin pemain akan bermain mati-matian untuk merebut mata, sekali gus memastikan pasukan terus bersaing bagi mendapatkan kedudukan terbaik pada akhir musim,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha dan perancangan yang dilakukan sejak penubuhan pasukan ini tidak boleh terhenti sekerat jalan.

“Bagi saya, apa yang kami lakukan sejak awal skuad ini dibina tidak boleh sekerat jalan. Jadi, kami bertekad untuk memberikan segalanya bermula dengan aksi di Penang FC,” katanya.

Dalam pada itu, Zahar turut memuji komitmen tinggi ditunjukkan barisan kejurulatihan pasukan, yang terus memberikan sokongan moral kepada para pemain.

“Ketua jurulatih dan jurulatih lain membuat persiapan sebaik mungkin berdasarkan kualiti pemain yang ada.

“Mereka juga memberikan kata-kata motivasi kepada pemain bahawa KDNFC II mesti berjuang hingga tamat, biarpun berdepan banyak masalah,” katanya lagi.

KDNFC II kini berada dalam misi untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan liga dan memastikan kelab terus relevan di arena bola sepak tempatan. – HARAKAHDAILY 7/1/2025

- Advertisement -