TMPs 2024-2025: Perlis sasar 5 juta pelancong

Abu Bakar (tengah) bersama pegawai Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) di Ladang Kenaf, Lembah Chuping
- Advertisement -

KANGAR: Perlis giat melaksanakan usaha menaik taraf sektor pelancongan dengan sasaran menarik 5 juta pelancong menjelang akhir tahun 2025.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, langkah itu termasuk penambahbaikan kawasan pelancongan sedia ada, pengenalan destinasi baharu, serta pelaksanaan strategi melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

“Kita mahu pastikan kawasan sedia ada yang kelihatan muram dinaik taraf semula. Kebersihan kawasan perlu berada pada tahap terbaik, dengan kemudahan asas seperti tandas dan surau yang disediakan untuk keselesaan pelawat,” katanya.

Abu Bakar menekankan kepentingan kebersihan dalam memastikan pengalaman pelancongan yang berkualiti dengan kawasan pelancongan sedia ada akan diperbaiki untuk memastikan ia menarik dan selesa.

“Kami melihat potensi besar pada lokasi seperti Bukit Kubu, Tasik Puteri, dan kawasan sepanjang Banjaran Nakawan. Tempat-tempat ini bukan sahaja memiliki nilai sejarah, tetapi juga keindahan semula jadi yang luar biasa,” tambahnya.

Selain itu, kerajaan negeri juga mengenal pasti beberapa lokasi baru seperti Bukit Wang Raja, Dataran Y, Kampung Batu Puteh, dan Bukit Kecik di sempadan Thailand.

Tempat-tempat ini menurut Abu Bakar, mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi baharu yang mampu menarik pelancong.

“Bukan sahaja lokasi, malah suasana yang damai dan menawan di Perlis juga menjadi tarikan utama. Namun, kita perlu memastikan kebersihan dijaga kerana ini adalah aspek penting yang dilihat oleh pelancong,” ujarnya.

Promosi pelancongan sukan

Kerajaan Perlis turut memberi fokus kepada pelancongan sukan sebagai sebahagian daripada strategi untuk menarik pelancong.

Dengan kerjasama Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan pihak berkepentingan lain, negeri ini berharap dapat memanfaatkan kawasan semula jadi untuk aktiviti sukan seperti mendaki, larian denai, dan aktiviti sukan lain yang sesuai.

“Pelancongan sukan boleh menjadi daya tarikan yang besar, terutama kepada pelancong yang sukakan cabaran dan aktiviti lasak. Wang Gunung, Bukit Batu Kapur, dan beberapa lokasi lain di Perlis sesuai untuk tujuan ini,” jelas Abu Bakar.

Beliau juga menekankan, pelancongan sukan bukan sahaja menarik pelancong tempatan, tetapi juga antarabangsa iaitu dengan pelan strategik, Perlis boleh menjadi hab aktiviti sukan lasak yang memberi pengalaman unik kepada para pelancong.

Selain destinasi semula jadi, kerajaan negeri turut merancang untuk memperkenalkan Perkampungan Seni dan Budaya di kawasan seperti Kampung Y dan lokasi lain yang sesuai.

Usaha ini bertujuan mempromosikan budaya tempatan kepada pelancong, sekaligus memelihara warisan seni dan tradisi negeri.

“Kita mahu jadikan Perlis bukan sahaja destinasi untuk menikmati keindahan alam, tetapi juga tempat untuk mengenali seni, budaya, dan tradisi tempatan.

“Kampung Wai, contohnya, mempunyai potensi besar untuk dijadikan perkampungan seni dan budaya,” kata Abu Bakar.

Inisiatif ini turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan penting dalam menyusun strategi dan melaksanakan pelbagai program untuk menarik pelancong ke negeri ini.

2026: Tahun Melawat Malaysia

Mengulas mengenai sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, Abu Bakar berkata, 12 bulan terakhir pada 2025 adalah tempoh kritikal untuk memastikan Perlis bersedia menyambut jumlah pelancong yang lebih besar.

“2025 adalah pecutan terakhir bagi kita sebelum Tahun Melawat Malaysia 2026. Dengan kempen promosi yang baik, saya yakin Perlis mampu menarik antara 4 hingga 5 juta pelawat,” katanya.

Beliau menambah, walaupun negeri Kedah turut melaksanakan kempen Tahun Melawat Kedah pada tahun yang sama, Perlis akan memastikan sebahagian pelancong turut menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan.

“Kita mahu pastikan bahawa pelancong yang ke Kedah juga meluangkan masa untuk melawat Perlis. Ini adalah cabaran yang besar, tetapi dengan perancangan yang rapi, saya yakin kita boleh mencapainya,” tambahnya lagi.

Perlis terkenal dengan keindahan alam semula jadi seperti Wang Gunung, View Point, dan Bukit Batu Kapur di mana kawasan-kawasan ini bukan sahaja menawarkan pemandangan memukau, tetapi juga suasana yang tenang dan damai.

Selain itu, makanan tempatan turut menjadi tarikan utama kepada pelancong yang menurut Abu Bakar, makanan di Perlis terkenal dengan rasa enak, bersih dan harga berpatutan.

“Makanan juga memainkan peranan penting dalam menarik pelancong. Di Perlis, kita ada makanan yang sedap dan unik. Ini adalah satu kelebihan yang perlu kita manfaatkan,” katanya.

Dengan segala usaha dan perancangan yang sedang giat dilaksanakan, kerajaan negeri yakin Perlis katanya mampu menjadi destinasi pelancongan pilihan.

Menurutnya, sasaran untuk menarik 5 juta pelawat pada 2025 adalah matlamat yang realistik jika semua pihak bekerjasama dan menyokong usaha ini.

“Ini adalah masa untuk kita menyerlahkan keunikan Perlis kepada dunia. Dengan usaha bersama antara kerajaan, NGO, dan masyarakat setempat, saya yakin kita boleh mencapai sasaran ini,” kata Abu Bakar. HARAKAHDAILY 7/1/2025

- Advertisement -