
KULIM-BANDAR BAHARU: Sistem pintar seperti Smart Pay bukan sahaja memperkenalkan inovasi dalam urusan bayaran, tetapi juga untuk menggalakkan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kulim Smart Pay adalah kesinambungan daripada Kulim Smart Parking yang telah dilaksanakan di daerah itu bermula 28 September 2022 lalu.
“Kita juga telah bersedia untuk melangkah lebih jauh. Kulim Smart Pay bukan sahaja membolehkan orang ramai membayar bayaran parkir.
“Tetapi turut menyediakan kemudahan untuk membayar bayaran lain seperti cukai taksiran, sewa ruang niaga, serta pelbagai perkhidmatan lain lagi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kulim Smart Pay (KSP), Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), di Kulim Landmark Central, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Mejar (B) Mansor Zakaria dan Yang Dipertua MPKK, Datuk Elmi Yusoff.
Mengulas lanjut ujarnya, semua transaksi itu kini boleh dilakukan melalui satu platform yang mudah, pantas, serta efisien.
“Ia merupakan langkah besar ke arah merealisasikan Kedah Cashless 2025, di mana penggunaan tunai semakin dikurangkan dan peralihan ke sistem digital diterima sebagai norma dalam kalangan rakyat,” tambah beliau.
Berikutan itu kata Sanusi, segala usaha itu adalah manifestasi komitmen untuk memastikan rakyat, khususnya di daerah Kulim, dapat menikmati kemudahan yang lebih baik dan efisien dalam urusan harian.
Selain ia juga tambah beliau, selaras dengan visi untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang moden, berinovasi dan inisiatif ke arah pendigitalisasi perkhidmatan awam.
Beliau juga menegaskan, usaha itu merupakan kerjasama antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta telah menghasilkan satu platform sangat memberi impak positif kepada masyarakat.
Serta ujarnya, menjadi contoh terbaik bagaimana inisiatif awam-swasta dapat membantu memperbaiki sistem perkhidmatan di peringkat akar umbi.
“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini.
“Semoga Kulim SmartPay menjadi contoh terbaik yang boleh dicontohi oleh PBT lain di seluruh negeri Kedah dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan kepada rakyat,” katanya lagi.
Beliau juga berharap, Kulim Smart Pay ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat daerah itu, tetapi juga menjadi contoh yang boleh diteladani oleh seluruh negeri Kedah dalam merealisasikan visi Kedah Digital dan Kedah Cashless 2025. – HARAKAHDAILY 5/1/2025




















