
KULIM-BANDAR BAHARU: Agensi keselamatan digesa agar mengambil tindakan tegas agar perairan Pulau Langkawi tidak dibolos bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun sudah lama tidak berlaku pendaratan haram, namun Langkawi terus menjadi pilihan untuk golongan terbabit cuba memasuki negara.
“Agensi-agensi yang bertanggungjawab menjaga perairan negara perlu mengambil peranan yang serius dalam hal ini.
“Perkara ini selalu berlaku di Langkawi walaupun agak lama juga dah tak ada pendaratan, tapi sekarang berlaku pula,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kulim Smart Pay, di sini hari ini.
Kelmarin, media melaporkan sebuah bot yang membawa 196 orang etnik Rohingya ditahan selepas mendarat di Pantai Awam Teluk Yu, Langkawi, kira-kira pada jam 3:25 pagi.
Justeru, Sanusi menggesa agar hal seperti itu diambil serius oleh pihak agensi terbabit dan mengharapkan tidak membiarkan perairan negara dibolos dengan mudah.
Sementara pada kejadian semalam pula, dua lagi bot yang membawa kira-kira 300 PATI dari Myanmar berjaya diusir oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Maritim Malaysia yang berjaya mengesan kedudukan mereka di dua batu nautika barat daya Pulau Rebak, Langkawi.
“Dulu dilaksanakan Op Benteng melibatkan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan polis sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Cuma kita tiada agensi yang berkaitan di peringkat negeri.
“Kotak kuasa kita tak ada dalam itu, jadi yang itu semua agensi Kerajaan Persekutuan, maka mereka kena ambil perhatian agar tak berlaku lagi,” tegas beliau lagi.
Sungguhpun begitu katanya, aspek kemanusiaan perlu dijaga dan tindakan agensi berkaitan membantu PATI yang keletihan dan kelaparan sebelum diusir semula, sangat dipuji. – HARAKAHDAILY 5/1/2025











