MKN digesa segera urus penempatan semula Bukit Malut

- Advertisement -

KULIM-BANDAR BAHARU: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertindak lebih pantas bagi menguruskan proses penempatan semula perkampungan Bukit Malut di Langkawi.

- Advertisement -

Katanya, walaupun, proses ini mengambil masa terutama berkaitan pengambilan tanah, tetapi MKN diharap dapat bertindak lebih pantas.

“Kerajaan negeri sudah bersetuju untuk membuat pengambilan tanah bagi tujuan itu. Proses itu memang akan ambil masa untuk pengambilan dan bina rumah.

“Tapi kita nak MKN bertindak pantas sikit, perbincangan memang sudah ada harap benda tu dipercepatkan,” tegasnya ketika ditemui media selepas melancarkan Kulim Smart Pay, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Mejar (B) Mansor Zakaria dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Datuk Elmi Yusoff.

Kata Sanusi lagi, kelewatan melaksanakan projek itu akan memberi ruang pembinaan rumah haram lebih berleluasa sehingga ke laut di kawasan itu.

Penempatan Bukit Malut mula diteroka sejak awal 80-an oleh pelarian Myanmar dengan membina rumah di kawasan pesisir laut sebelum ia terus berkembang sehingga ke kawasan berbukit.

Pelarian tersebut juga dikenali sebagai Melayu Islam Kedah (MIK) dan
dikatakan memiliki dokumen pengenalan diri, MyKad untuk membolehkan mereka menjadi pengundi berdaftar.

Penempatan di Bukit Malut itu bukan sahaja semakin merebak ke kawasan laut tetapi menjadi tempat longgokan sampah dan memberi masalah kepada penduduk tempatan.

Berikutan itu Sanusi mengharapkan projek yang dirancang itu dapat menghentikan sebarang polemik yang wujud. – HARAKAHDAILY 5/1/2025

- Advertisement -