
TUMPAT: Pendidikan prasekolah khususnya berteraskan Islam amat penting sebagai membentuk sahsiah diri anak-anak di peringkat awal.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerana itu pendidikan ini mesti dipertahankan demi mendidik mereka dengan pendidikan akhlak.
“Tidak rugi kita menghantar anak-anak kita di mana-mana sekolah PASTI yang ada berhampiran dengan kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Prestasi PASTI Tok Wan Ali, dekat sini semalam.
Ia dianjurkan bagi meraikan murid-murid prasekolah yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing.
Majlis ini melibatkan murid berusia enam, lima dan empat tahun dengan pelbagai penghargaan diberikan bagi menghargai usaha dan pencapaian mereka sepanjang sesi pembelajaran.
Wan Roslan yang juga ADUN Pengkalan Kubor turut menzahirkan penghargaan kepada guru-guru dan ibu bapa atas usaha mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam.
“Anak-anak ini adalah harapan ummah. Kejayaan mereka hari ini mencerminkan dedikasi guru-guru dan sokongan padu ibu bapa dalam membentuk generasi soleh dan solehah,” ujar beliau.
Turut hadir memeriahkan majlis Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.
Katanya, komitmen mereka dalam mendidik generasi muda dengan pendidikan Islam berkualiti menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih cemerlang. – HARAKAHDAILY 5/1/2025











