
MAKKAH: Seramai 65 anak muda Kelantan mencatat sejarah apabila berjaya menunaikan ibadah umrah di tanah suci dengan tajaan penuh Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menerusi Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.
Mereka bukan sahaja berpeluang melakukan ibadah umrah, malah mendalami sejarah Islam dengan menziarahi tempat penting dalam sejarah Islam di bawah bimbingan mutawif Andalusia, Ustaz Muhammad Zaki Ridzuan dan Ustaz Ahmad Junaidi Omar.
Kedua-dua mutawif yang berpengalaman luas berkenaan memberikan tazkirah serta penerangan yang jelas mengenai sejarah Rasulullah SAW ketika berada di bumi Makkah.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Jabal Thur, iaitu tempat persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar RA ketika peristiwa hijrah ke Madinah. Lawatan ini membuka mata peserta terhadap pengorbanan besar Rasulullah SAW ketika menyebarkan Islam.
Di Jabal Rahmah pula, lokasi yang dikaitkan dengan pertemuan Nabi Adam AS dan Hawa, peserta menyelami sejarah penciptaan manusia, sambil mengambil iktibar tentang kasih sayang dan pengampunan dalam kehidupan.
Mereka turut melawat Masjid Al-Hudaibiyah yang menjadi tempat berlangsung Perjanjian Al-Hudaibiyah yang menjadi titik perubahan penting dalam sejarah dakwah Islam. Kesempatan memahami peristiwa ini secara langsung meningkatkan kefahaman dan kecintaan mereka terhadap perjuangan Rasulullah SAW.
Selain itu, peserta mengunjungi Muzium Al-Amoudi yang terkenal sebagai pusat pameran warisan Islam dan Arab. Mereka berpeluang melihat pelbagai artifak bersejarah, termasuk manuskrip lama, barang peninggalan zaman Rasulullah SAW dan replika seni bina Islam.
Lebih menarik apabila petugas muzium itu yang berbangsa Arab, tetapi fasih berbahasa Melayu dan sekali sekala berjenaka menghiburkan peserta program anak muda ini.
Bagi peserta, Ahmad Yaasin, 20, lawatan ini memberi dimensi baru kepada pemahamannya terhadap kekayaan sejarah dan tamadun Islam.
“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang melihat secara langsung tempat bersejarah yang dilalui oleh junjungan besar Rasulullah SAW yang sebelum ini hanya dipelajari di sekolah. Ini merupakan pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” katanya yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Kemahiran Mara, Perlis tidak lama lagi.



Mutawif Andalusia, Muhammad Zaki pula berkata, program ini bukan sekadar perjalanan ibadah, tetapi platform untuk membina ukhuwah dalam kalangan peserta dan mendekatkan hubungan mereka dengan Allah SWT.
“Saya melihat tajaan ini sebagai usaha untuk membentuk generasi muda yang teguh iman dan kaya dengan ilmu pengetahuan agama. Program ini patut dicontohi dan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Mesra dengan panggilan ‘Pak Tam’, Muhammad Zaki turut memberi peluang kepada anak muda mengetuai bacaan talbiyah, bacaan doa ketika menjalani ibadah tawaf di Baitullah serta sai’e, sekali gus membawa kenangan indah kepada peserta umrah anak muda Kelantan.
Program ini adalah hasil kerjasama Andalusia dan Masjid Imanul Faizin, yang bertujuan memberikan peluang kepada golongan muda menunaikan ibadah umrah buat kali pertama dengan syarat perlu solat berjemaah 90 waktu secara tetap di Masjid Imanul Faizin, Melor, Kelantan.
Kumpulan pertama terdiri daripada 65 peserta, iaitu 36 lelaki dan 29 wanita; lima pengiring dari urusetia Masjid Imanul Fa’izin serta dua mutawif yang membimbing peserta sepanjang ibadah umrah selama 12 hari 10 malam.
Inisiatif ini disifatkan sebagai langkah murni dalam membimbing anak muda ke arah menjadi individu yang berjiwa besar, berakhlak mulia, dan beraspirasi untuk menyumbang kepada ummah. – HARAKAHDAILY 4/1/2025




















