TMK 2025: Kedah sedia 150 acara, program menarik

- Advertisement -

KUBANG PASU: Kedah menyasarkan enam juta pelancong sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 yang bermula hari ini, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Jelasnya, walaupun tiada sasaran khusus, tetapi dengan langkah yang dibuat, promosi dan sebagainya, dijangka lebih ramai pelancong Thailand akan datang ke Kedah.

“Pagi ini pun kita lihat ramai pemandu pelancong yang menyediakan perkhidmatan Thailand masuk Malaysia khususnya untuk ke Kedah,” kata beliau ketika ditemui media selepas menyambut pelancong ke Kedah, di ICQS, Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Jelas Sanusi lagi, beberapa lokasi utama diadakan sambutan untuk menyambut pelancong luar masuk ke negeri ini sempena hari pertama TMK 2025.

Antaranya di ICQS, Bukit Kayu Hitam, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, juga di Plaza Tol Utara dan Selatan.

Di samping itu katanya lagi, kerajaan negeri melalui Exco Pelancongan telah menyediakan hampir 150 acara dan program menarik yang disusun sepanjang tahun ini.

“Kita juga menyediakan ‘booklet’ senarai tempat-tempat yang menarik untuk di lawati di Kedah.

“Senarai tempat-tempat menarik di negeri ini juga telahpun diedar serta dikongsi bersama pemain industri pelancongan di seluruh negara,” jelasnya lagi.

Kedah juga tambah beliau menjalinkan kerjasama dengan Tourism Malaysia untuk mengadakan promosi TMK 2025 di luar negara.

“Saya mengharap tahun 2025 ini akan menjadi titik mula kepada kebanjiran pelancong datang ke Kedah sama ada pelancong domestik ataupun antarabangsa.

“Apatah lagi, Batik Air juga telah memulakan operasi penerbangan daripada Kuala Lumpur ke Alor Setar untuk membawa pelancong ke negeri ini.

“Selain 25 penerbangan ke Langkawi, saya harap penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar juga akan lebih rancak selepas daripada ini,” katanya menzahirkan pengharapan.

Turut hadir menyambut tetamu di ICQS tersebut termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin.

Juga hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad.

Justeru, ADUN Jeneri itu juga, amat mengalu-alukan rakan-rakan bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, malah di luar negara untuk datang ke Kedah sempena TMK ini.

Dalam pada itu, Sanusi turut menegaskan, pihaknya akan mempertingkatkan lagi hubungan dua hala bersama wilayah-wilayah di Thailand seperti Pattani, Narathiwat dan Songkla.

Selain katanya mengadakan program usahasama terutama dalam sektor industri makanan halal dan pelancongan yang mampu menjadi sumber ekonomi terbesar antara dua negara. – HARAKAHDAILY 1/1/2025

- Advertisement -