Kerjasama ICU JPM bina rumah musnah akibat banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak RM4.6 juta bakal dibelanjakan oleh kerajaan negeri bagi membina semula rumah yang musnah serta baik pulih kediaman terjejas akibat banjir baru-baru ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya akan bekerjasama Unit Penyelaras Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi bina semula.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengenalpasti tapak sesuai dan RM728,000 diperuntukkan membabitkan sembilan rumah di Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai.

“Kita telah melaporkan hal ini kepada ICU Jabatan Perdana Menteri dan kita akan cuba usahakan bagi membantu membina semula rumah yang total lost tadi, kita akan kenal pasti tapak tanah.

“Manakala kos untuk pembinaan semula itu insyaAllah kita akan cuba bincang dengan ICU ini untuk mereka tanggung, jadi kerjasama dua pihak, kita pula kenal pasti tanah sesuai,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini hari ini beliau berkata, kerajaan negeri menanggung kos baik pulih rumah sebanyak RM3.8 juta.

Menurutnya sebanyak 151 buah rumah membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Pasir Puteh dan Bachok memerlukan baik pulih akibat bencana banjir berlaku baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu berkata, menjadi komitmen kerajaan negeri yang berkonsepkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat agar setiap bantuan dapat disampaikan.

“Manakala bagi kos tambah baik atau baik pulih pula, kita akan cuba dengan mana-mana kemampuan kerajaan negeri untuk membantu dan melihat situasi keadaan sebenar rumah terbabit.

“Bagi anggaran kos baik pulih atau bina baharu rumah untuk mangsa banjir monsun timur laut 2024-2025 berjumlah 160 semuanya dengan kos keseluruhan adalah RM4.6 juta seluruh negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/1/2025

- Advertisement -