
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan ahniah kepada dua anak negeri ini, Muhammad Syaqil dan Nur Ranieya Sofia Ahmad, atas kejayaan cemerlang mereka di peringkat antarabangsa.
Syaqil telah mengharumkan nama negeri dan negara dengan penyertaan dalam Kejohanan Dunia Pencak Silat yang berlangsung di Abu Dhabi.
Sementara itu, Ranieya berjaya menempatkan Terengganu di persada dunia apabila meraih tempat pertama dalam Festival Seni Rakyat EAFF di Prague, Republik Czech.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa generasi muda kita mampu bersinar di peringkat antarabangsa tanpa melupakan akar budaya mereka,” kata Samsuri dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi komitmen untuk memperkasakan seni dan budaya melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan ia menjadi elemen penting dalam pembangunan generasi muda.
Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berharap pencapaian Syaqil dan Ranieya akan menjadi inspirasi kepada golongan muda, khususnya di Terengganu, untuk terus cemerlang dalam pelbagai bidang.
“Sekali lagi, tahniah diucapkan kepada mereka berdua atas kejayaan yang amat membanggakan ini. Kalian telah menjadi inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana terutama Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/12/2024





















