Kebaikan ADUN Jabi: Empati, prihatin yang membumi

- Advertisement -

BESUT: Tindakan penuh empati ditunjukkan ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim membuktikan bahawa pemimpin bukan sahaja berperanan menguruskan pentadbiran, tetapi juga perlu mempunyai sifat prihatin terhadap masyarakat sekeliling.

- Advertisement -

Kebaikan beliau terpapar dalam satu kejadian menyentuh hati, apabila dengan sukarela membantu seorang warga orang kurang upaya (OKU), yang mesra disapa dengan panggilan Abe Zaid kerana mengalami kesulitan selepas motosikalnya rosak di tepi jalan.

Meskipun Azman seorang pemimpin yang sibuk dengan pelbagai urusan, beliau tidak mengabaikan kepentingan membina hubungan rapat dengan penduduk diwakilinya.

“Hari ini takdir motor Abe Zaid kita rosak tersadai tepi jalan. Bereh jah, mari Pok Cik Man hantar kelik (balik) rumah dulu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Dalam kejadian itu, beliau tidak hanya menawarkan bantuan segera dengan menumpangkan Abe Zaid pulang ke rumah, tetapi juga mengambil langkah untuk mencari mekanik bagi membaiki motosikal yang rosak.

Menurutnya, meskipun Abe Zaid berstatus OKU akibat kemalangan jalan raya, setiap hari beliau berulang-alik lebih 10 kilometer untuk menghantar dan mengambil anaknya dari Bukit Tanah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Renek.

“Inilah kasih seorang ayah,” kata Dr Azman yang juga EXCO Kerajaan Negeri Terengganu. – HARAKAHDAILY 17/12/2024

- Advertisement -