Mangsa banjir Meranti terus terima bantuan keperluan

- Advertisement -

PASIR MAS: Sebanyak 70 kit sumbangan disediakan NGO Jurugambar Prihatin (JP) untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di  Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti, dekat sini yang terjejas akibat banjir besar sejak 25 November lalu.

- Advertisement -

Sumbangan berkenaan berupa keperluan dapur seperti minyak gula, tepung gandum, teh, kopi, meehon dan lain-lain untuk keperluan mangsa banjir yang baru pulang ke rumah.

Pengerusinya, Hilmi Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menyumbangkan peralatan membersih rumah seperti penyapu, mop, cecair pembersih dan peralatan lain untuk memudahkan kerja pembersihan lumpur di rumah-rumah yang ditenggelami air.

“Sumbangan ini adalah hasil derma orang ramai. Kami kumpulkan dana, membeli barangan keperluan seperti tepung gandum, biskut, teh, gula, dan lain-lain.

“Sumbangan ini akhirnya kami terus menyerahkannya kepada mangsa,” katanya ketika menyampaikan sumbangan tersebut kelmarin.

Menurut beliau, sumbangan yang diperolehi pihaknya turut membeli peralatan seperti generetor set (genset) turut disediakan untuk membantu kerja-kerja pembersihan lumpur.

Katanya, mana-mana pihak yang terlibat dengan banjir boleh meminjamkannya, kemudian serahkan semula pada pihak JP dan Kelab Balkis.

Katanya, JP dan Kelab Balkis telah memulakan operasi membantu mangsa sejak banjir besar 2014, dan sehingga kini, komitmen membantu masyarakat tetap diteruskan.

Sementara itu, seorang penduduk di situ, Mohd Naim Zainal, 36, telah terperangkap dengan situasi banjir besar yang berlarutan selama dua minggu sejak 25 November lalu.

Katanya, paras air yang hampir mencecah bumbung rumah menambah keperitan biarpun rumahnya telah dibina lebih tinggi sebagai langkah awal persediaan menghadapi banjir.

“Memang kawasan ni sering dilanda banjir, tetapi banjir tahun ini agak dahsyat berbanding sebelumnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau turut menerima sumbangan dari JP dan Kelab Balkis pada hari berkenaan yang disampaikan Hilmi di pekarangan rumahnya.

Jelasnya, biarpun air masih bertakung di halaman rumah sehingga paras paha, tetapi beliau mesti pulang ke rumah apa lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah ditutup.

Kampung tersebut merupakan salah satu kawasan yang teruk terjejas dengan penduduk masih bergelut dengan kesukaran akibat limpahan air belum surut sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

- Advertisement -