
KUALA TERENGGANU: Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) menafikan memiliki atau mengendalikan Hospital Bersalin Razif yang terkait dengan insiden berkaitan jenazah seorang bayi lelaki.
Jenazah bayi itu disimpan di dalam peti sejuk beku hospital tersebut selama dua minggu akibat kegagalan ibu bapanya melunaskan bil hospital.
Menurut kenyataan rasmi KMI, meskipun terdapat Perjanjian Jual Beli Saham yang ditandatangani pada 23 Oktober 2023, transaksi tersebut belum dimuktamadkan.
Katanya, terdapat beberapa syarat yang belum dipenuhi sebelum perjanjian tersebut boleh disempurnakan.
“Perjanjian tersebut masih belum dimuktamadkan kerana terdapat beberapa pemenuhan duluan syarat yang belum dipenuhi.
“Sehingga syarat-syarat ini dilaksanakan dan transaksi selesai, KMI Healthcare tidak mempunyai hak milik atau tanggungjawab terhadap Hospital Bersalin Razif.
“Oleh itu, KMI Healthcare tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang isu operasi atau lain-lain yang berkaitan dengan Hospital Bersalin Razif pada masa ini,” katanya.
Syarikat KMI memberi jaminan akan terus mengutamakan ketelusan dan pematuhan dalam segala urusan, serta akan memberikan maklumat lanjut apabila diperlukan.
Kelmarin, tular insiden melibatkan Hospital Bersalin Razif dilaporkan media, di mana Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) mendedahkan kes melibatkan jenazah bayi lelaki disimpan di dalam peti sejuk beku hospital tersebut.
Difahamkan, jenazah hanya boleh dibawa keluar selepas keluarga melunaskan bil hospital berjumlah lebih RM3,000. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











