Wakaf Pemacu Tamadun: Konsep perlu dikembang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Konsep wakaf yang diamalkan umat Islam perlu diperluaskan dan disesuaikan dengan keperluan moden bagi memastikan ia terus relevan.

- Advertisement -

Pada masa yang sama diharap ia mampu memacu pembangunan ummah secara menyeluruh supaya sistem ini terus dipraktikkan umat Islam.

Speaker DUN Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, pemikiran masyarakat Islam di negara ini terhadap wakaf masih terbatas kepada aspek tradisional seperti tanah untuk masjid, sekolah, atau wakaf al-Quran.

“Kebanyakan tanah wakaf hanya sekitar satu atau dua ekar, dan ia sukar dikembangkan untuk pembangunan lebih besar dalam dunia moden hari ini,” katanya ketika merasmikan 1st Global Waqf International Conference (1stGWIC’24) di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di sini semalam.

Beliau menegaskan, perlunya umat Islam mengubah pemikiran kecil itu terhadap wakaf dan melihat potensi besar yang boleh dicapai jika ia diuruskan secara strategik.

“Wakaf bukan sekadar untuk sejadah, telaga, atau al-Quran, tetapi harus berkembang menjadi instrumen yang menyokong pembangunan ekonomi, pendidikan, dan teknologi ummah,” tambahnya.

Dato’ Mohd Amar turut menekankan keperluan untuk umat Islam mendahului dalam penguasaan ilmu dan maklumat.

“Kuasai maklumat, maka kita kuasai dunia. Contoh kekayaan sumber seperti nadir bumi (REE) harus dimanfaatkan untuk ummah, khususnya dalam pendidikan dan pembangunan ilmu,” jelasnya lagi.

Beliau juga menyarankan umat Islam memperluaskan pemahaman tentang zakat yang bukan hanya tertumpu kepada bulan Ramadan.

“Zakat ternakan dan tanaman juga perlu diberi perhatian. Dengan pemikiran yang lebih besar, umat Islam boleh menjadi penternak dan pengusaha yang hebat sehingga berjaya untuk pengeluaran zakat agar dapat diagihkan pada masyarakat,” katanya.

Dalam pertembungan pemikiran dunia moden, beliau menyeru institusi wakaf menjadi alat utama untuk memulihkan kedudukan umat Islam sebagai peneraju ilmu dan tamadun, seperti era kegemilangan Uthmaniah.

Beliau turut menegaskan pentingnya mengatasi cabaran wakaf, termasuk halangan undang-undang dan mentaliti masyarakat.

“Wakaf perlu dikelola dengan baik melalui agensi seperti MAIK, di samping membuka ruang kepada idea dan inovasi baru.

“Konferens ini diharapkan dapat mencetuskan anjakan paradigma terhadap pemikiran wakaf, sekali gus menjadikannya pemacu pembangunan yang lebih besar di peringkat negeri, negara, dan dunia. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

- Advertisement -