
ALOR SETAR: Skim Pinjaman Mikro Kredit dan Geran i-Sejahtera Negeri Kedah merupakan inisiatif Kerajaan Kedah untuk menyokong pembangunan usahawan tempatan di negeri ini
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, skim melalui Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) itu, membuka peluang pinjaman kepada usahawan tempatan untuk menaik taraf perniagaan masing-masing.
“Pada tahun 2024 ini, seramai 26 usahawan tempatan telah berjaya dipilih dan layak menerima pinjaman. Manakala 80 usahawan lagi melepasi tapisan kelulusan untuk menerima Geran Perniagaan i-Sejahtera,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Replika Cek Bagi Pembiayaan Geran Perniagaan i-Sejahtera dan Skim Pembiayaan Mikro Kredit i-Sejahtera Negeri Kedah 2024, di Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd Radzi Mat Amin dan ADUN Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad.
Menurut Mohd Salleh, seramai 26 penerima Skim Pinjaman Mikro Kredit Negeri Kedah itu merupakan usahawan dari pelbagai sektor perniagaan seperti makanan, minuman, perkhidmatan, peruncitan, pertanian, automotif, serta fesyen dan tekstil.
Sementara tambah beliau, penerima Geran Perniagaan i-Sejahtera akan dibuat pemantauan secara berkala bagi memastikan penerima dapat meningkatkan taraf perniagaan mereka dengan lebih berkesan.
“Peralatan seperti mesin dan lain-lain yang dibeli melalui Geran Perniagaan i-Sejahtera, tidak boleh dijual semula dalam tempoh lima tahun.
“Syarat ini adalah untuk memastikan aset yang diberikan benar-benar menyumbang kepada pembangunan perniagaan usahawan yang terlibat,” katanya lagi
Berikutan itu tegasnya, Kerajaan Kedah amat berharap bantuan yang diperolehi ini dapat dimanfaat sebaiknya untuk meningkatkan perniagaan masing-masing.
Terdahulu menurutnya, skim tersebut telah berjaya memberi manfaat kepada 1,562 usahawan semenjak ia dilaksanakan pada 2015.
“Dengan adanya inisiatif ini, Kerajaan Kedah berharap dapat memberi sokongan yang lebih baik kepada usahawan tempatan dalam meningkatkan daya saing.
“(serta) membuka peluang perniagaan yang lebih luas sama ada di peringkat domestik mahupun global,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/12/2024





















