
KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada rakyat Syria atas kejayaan besar mereka dalam menumbangkan pemerintahan yang zalim.
Yang Di-Pertuanya, Dato’ Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, kejayaan itu melambangkan ketabahan, keberanian dan kekuatan rakyat Syria setelah bertahun-tahun menanggung keperitan akibat kezaliman rejim tersebut.
“PUM menegaskan bahawa kejatuhan pemerintahan yang zalim adalah simbol kepada kemenangan kebenaran mengatasi kebatilan, sekali gus menjadi inspirasi kepada rakyat tertindas di seluruh dunia.
“Kejayaan revolusi di Syria ini turut memberi sinar harapan kepada pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa yang masih berada di bawah cengkaman rejim Zionis,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kejayaan tersebut turut membuka ruang kepada pembinaan semula Syria yang lebih adil, aman, dan berasaskan prinsip-prinsip Islam.
“PUM menyeru pihak kepimpinan baharu Syria agar memberi keutamaan kepada proses pemulihan negara, memperkukuhkan perpaduan rakyat, dan menghapuskan segala unsur perpecahan.
“Peralihan kuasa ini hendaklah dilaksanakan dengan hikmah dan kebijaksanaan tanpa mengulangi kesilapan masa lalu.
“Dengan pengukuhan politik dan kestabilan Syria, kekuatan umat Islam di rantau Syam dapat digerakkan secara bersama ke arah pembebasan Baitul Maqdis dan pembelaan hak rakyat Palestin,” ujarnya.
Justeru, PUM menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya negara-negara Islam, agar turut memberi sokongan penuh kepada proses pemulihan Syria.
Seterusnya kata beliau, mengajak umat Islam di seluruh dunia untuk terus berdoa agar keamanan, keselamatan, dan keharmonian kembali tertegak di bumi Syria.
“Sokongan ini meliputi bantuan kemanusiaan, teknikal, kewangan, dan diplomatik bagi memastikan rakyat Syria dapat menikmati kehidupan yang lebih bermaruah selepas bertahun-tahun hidup dalam kesengsaraan.
“Usaha ini penting agar pembangunan semula infrastruktur, pendidikan, kesihatan, dan ekonomi dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.
“Kami juga menyeru rakyat Malaysia untuk terus menunjukkan solidariti dan sokongan kepada saudara-saudara kita di Syria melalui sumbangan kemanusiaan dan bantuan moral.
“Kejayaan rakyat Syria dalam menumbangkan kezaliman membuktikan bahawa kebenaran pasti akan menang, dan kezaliman tidak akan kekal selama-lamanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2024











