
RANTAU PANJANG: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff meluahkan rasa dukacita kerana tidak mampu memberikan bantuan segera kepada semua mangsa banjir di kawasan berkenaan
Beliau menjelaskan, pihaknya tidak menerima sebarang peruntukan daripada Kerajaan Pusat dan segala bantuan diagihkan adalah hasil ihsan daripada NGO, penderma individu, serta pelbagai agensi yang tampil membantu.
“Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyampaikan bantuan kepada kampung-kampung yang terjejas. Namun, saya mohon semua mangsa banjir bersabar kerana keupayaan kami sangat terbatas,” katanya.
Menurutnya, barangan disumbangkan seperti makanan, pakaian, dan keperluan asas lain diagihkan terus kepada mangsa banjir yang amat memerlukan.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan itu juga turut menzahirkan rasa simpati terhadap kesusahan yang dialami rakyat ketika berdepan bencana ini.
“Saya benar-benar merasai kesukaran dan keperluan tuan puan. Namun, inilah sahaja yang mampu kami lakukan dengan sumber yang ada,” ujarnya sambil menahan sebak.
Dalam nada penuh emosi beliau berkata, menulis kenyataan ini menyebabkan air matanya menitis kerana memahami penderitaan rakyat yang memerlukan bantuan segera.
Beliau berjanji akan terus berusaha dan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan. – HARAKAHDAILY 9/12/2024












