Andalusia semarakkan reunion alumni UM kumpulan 1979-1983

Sebahagian daripada 200 orang alumni Universiti Malaya (UM) kumpulan 1979- 1983 bersama pasangan yang hadir. (FOTO:HARAKAHDAILY/Zaid Adhar)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Inisiatif Pengarah Urusan syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), Ibrahim Mat Sin, membolehkan lebih 200 alumni Universiti Malaya (UM) kumpulan 1979- 1983 bertemu kembali dalam majlis reunion.

Andalusia menjadi penaja utama, termasuk sumbangan pakej umrah dan hadiah dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.

Bertemakan #SementaraKitaMasihAda, program itu bukan sekadar pertemuan, tetapi simbolik kepada kepentingan menghargai hubungan persahabatan yang terjalin sejak zaman kampus.

Seawal jam 11 pagi, lebih 200 alumni mula memenuhi dewan yang dihias indah dengan warna emas dan biru, melambangkan keunggulan serta kesetiaan.

- Advertisement -

Majlis dimulakan dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Reunion Universiti Malaya Batch 1979-1983, Abdul Rahim Ahmad, yang mengimbau kenangan ketika bergelar siswa dan memberikan penghargaan kepada Andalusia.

“Setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Ibrahim Mat Sin dan Andalusia yang menaja program kita pada pagi ini. Kita mendoakan agar Andalusia terus menjadi sebuah syarikat yang terulung di Malaysia.

“Sementara Kita Masih Ada juga adalah cetusan idea Ibrahim sendiri. Sebab apa? Kenapa? Sebab hari ni saudara dan saudari sekalian hampir 40 orang sahabat kita telah pergi meninggalkan kita.

“Jadi sementara kita masih ada, eloklah kita bersama berjumpa, bertemu dan sebagainya. Kita telah terpisah hampir selama 41 atau 42 tahun,” katanya.

Ibrahim (kanan) menerima cenderahati kenang-kenangan daripada alumni Universiti Malaya (UM) kumpulan 1979- 1983 yang diwakili oleh Abdul Rahim.

Sementara itu, Ibrahim berkata, majlis itu merupakan kali kedua selepas kali pertama diadakan di rumahnya, kira-kira 10 tahun lalu.

“Ketika itu, hampir 200 orang datang, sama juga dengan hari ini. Namun, kita amat sedih kerana pada hari ini, kawan-kawan yang kita jumpa dahulu 10 tahun lalu, sudah tiada pada hari ini. Semoga roh mereka dirahmati Allah,” katanya.

Hadiah utama cabutan bertuah merupakan tajaan pakej Umrah Andalusia bernilai RM6,390.

Majlis ini juga diiringi alunan nasyid dari kumpulan Raihan. Hidangan makan tengah hari pula menyajikan juadah tradisional seperti sup ayam berempah, ulam-ulaman, sotong goreng kunyit, daging salai masak lemak cili api, ayam kurma berkentang nostalgia yang mengingatkan mereka kepada hari-hari menikmati makanan di kampus.

Sebanyak 30 hadiah cabutan bertuah diadakan pada sesi pertama sebelum zuhur, manakala 30 lagi hadiah cabutan pada sesi kedua.

Ibrahim dan Ida Riswana sebak ketika mendengar sajak yang dialunkan dengan penuh penghayatan yang mendalam pada majlis itu.

Sajak bertajuk ‘Sementara Kita Masih Ada’ disampaikan, diketuai oleh Ibrahim bersama isterinya dan staf Andalusia beserta tayangan video.

Majlis tersebut juga dilengkapkan dengan solat zuhur berjemaah dan tahlil kepada alumni Universiti Malaya yang telah kembali ke rahmatullah. Program diteruskan dengan tayangan video perjalanan hidup alumni sepanjang 40 tahun, yang mengundang senyuman dan linangan air mata.

Peserta sedang khusyuk membaca Yasin dan Tahlil kepada alumni Universiti Malaya yang telah kembali ke rahmatullah.

Pada penghujung acara, sesi fotografi menjadi momen paling dinanti-nantikan. Suara gelak tawa bercampur dengan gurauan seperti zaman muda dahulu ketika semua berbaris mengikut kumpulan jurusan masing-masing.

Majlis yang berakhir sekitar jam 4 petang meninggalkan memori manis, mengingatkan setiap yang hadir bahawa walaupun masa berlalu, kenangan dan persahabatan tetap abadi. – HARAKAHDAILY 8/12/2024

- Advertisement -