
KOTA BHARU: Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) mengagihkan bantuan kepada lebih 1,000 warga Pondok Gelang Mas dan Pondok Repek yang terjejas akibat banjir pada akhir November lalu.
Malah sumbangan turut disampaikan kepada penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti melalui Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meranti yang mengalami kesusahan kerana bencana itu.
Pengarah YTK, Ustaz Zulqarnain Hassan berkata, lima pacuan empat roda digerakkan menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan kepada pelajar dan warga institusi pendidikan itu.
“Kali ini kami menyampaikan bantuan kepada Pondok Gelang Mas, Pondok Repek dan Pusat Khidmat DUN Meranti untuk diagihkan kepada penduduk terkesan akibat banjir baru-baru ini.
“Bantuan ini diharap dapat meringkan beban penduduk dan pelajar yang diuji, sama-sama kita doakan agar segala urusan dipermudahkan dan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.
Turut hadir pada program bertemakan YTK Cakna Banjir 2024 itu ialah Timbalan Pengarah YTK, Rosli Abdullah dan Penolong Pengarah, Mohamad Nuri Mat Yaacob.
Sumbangan tersebut membabitkan kelengkapan perabot, keperluan asas termasuk barang makanan harian seperti beras, gula, minyak masa dan sebagainya selain barangan elektrik.
Zulqarnain yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat berkata, pihaknya turut mengalu-alukan derma orang ramai untuk membantu keluarga memerlukan pasca banjir.
Bahkan apa yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri itu kata beliau merupakan hasil sumbangan orang awam yang boleh dilakukan melalui laman sesawang https://ytkkelantan.com/derma-online. – HARAKAHDAILY 8/12/2024











