PERTAB 2024 medan cungkil bakat pelajar SRITI

- Advertisement -

PADANG BESAR: Perkhemahan Tahunan Briged Amal Malaysia (PERTAB) 2024 dianjurkan bagi menilai serta memilih wakil terbaik negeri Perlis untuk bertanding di peringkat kebangsaan.

- Advertisement -

Program yang berlangsung semalam dan hari ini diadakan di Stesen Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Padang Besar, melibatkan penyertaan seramai 75 pelajar daripada dua sekolah, iaitu Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dan Sekolah Rendah Integrasi Islam (SRITI) Al-Furqan.

Perasmian penutup disempurnakan oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Haziq Asyraf Don, yang turut menyampaikan ucapan inspirasi kepada para peserta.

Aktiviti menarik

Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis (JAMPs), Mohamad Taufik Abdul Karim berkata, aktiviti perkhemahan ini memberi fokus kepada pembentukan rohani, kemahiran hidup, dan disiplin peserta.

Antara aktiviti menarik pada hari pertama termasuk perlumbaan penjelajahan (explore race), kemahiran ikatan dan gajet, kemahiran bantu awal, serta cabaran masakan hutan yang menguji daya kreativiti pelajar.

Pertandingan kawad kaki turut diadakan bagi memupuk semangat kerjasama dan disiplin dalam kalangan peserta.

Pada malamnya, pelajar mengambil bahagian dalam pertandingan kebudayaan, yang menjadi platform untuk menyerlahkan bakat seni mereka.

Hari kedua menyaksikan sesi kuliah subuh, kawad bersih, serta persediaan majlis penutup.

Acara perasmian penutup menjadi kemuncak program dengan penyampaian hadiah kepada pasukan terbaik.

Keunikan Kadet Amal

Kadet Amal, yang menjadi badan uniform utama di sekolah-sekolah PAS, menawarkan pendekatan holistik dengan silibus yang merangkumi aspek rohaniah, survival, dan kemahiran insaniah.

Ia menjadi sumber pelapis kepada Jabatan Amal Malaysia (JAM), entiti yang berada di bawah Dewan Pemuda PAS.

“Jabatan Amal bukan sekadar badan uniform biasa. Ia melatih pelajar menjadi insan yang lengkap, menekankan aspek kerohanian dan praktikaliti dalam kehidupan harian,” ujar Mohamad Taufik.

Dengan keunikan ini, Jabatan Amal terus relevan dan sesuai diterapkan di peringkat sekolah rendah dan menengah, membantu membentuk generasi muda yang berkualiti dan berdaya saing. – HARAKAHDAILY 8/12/2024

- Advertisement -