
KANGAR: Penganjuran larian Nakawan Ultra edisi kedua berjaya menarik penyertaan hampir 1,000 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Poland dan Belanda.
Acara dua hari bermula semalam dan hari ini berlangsung di Banjaran Nakawan, lokasi istimewa yang terkenal sebagai bukit batu kapur terpanjang di Malaysia.
Pengarah program, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman, berkata penganjuran larian ini bukan sekadar platform sukan tetapi juga usaha memperkenalkan ekopelancongan Perlis di peringkat antarabangsa.
“Program ini menarik lebih 80 peratus peserta luar, termasuk dari Asia Tenggara dan Eropah.
“Mereka akan bermalam di sini dan sekurang-kurangnya membelanjakan antara RM500 hingga RM800 seorang, memberi limpahan ekonomi kepada negeri ini,” katanya.
Larian melibatkan tiga kategori, iaitu 10 kilometer, 27 kilometer dan 50 kilometer, dengan pelepasan bermula di Kompleks Geotapak Taman Eko Rimba Bukit Ayer.
Para peserta dijangka berlari antara tujuh hingga 15 jam.
Larian Nakawan Ultra turut memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan alam semula jadi Perlis seperti banjaran batu kapur, denai, kampung tradisi, sawah padi menghijau dan kawasan agropelancongan.
Ku Hasrin berharap kerajaan pusat dan negeri melihat potensi besar acara ini untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta sektor pelancongan sempadan. – HARAKAHDAILY 8/12/2024











