Anak Kelantan perantauan salur sumbangan banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Anak-Anak Kelantan di perantauan khususnya dari Kuala Lumpur, tampil menyantuni mangsa banjir di negeri ini melalui penyaluran bantuan barang keperluan asas bernilai hampir RM350,000.

- Advertisement -

Sumbangan tersebut disampaikan wakil penyumbang dari Pengarah Sejagat Offshore Sdn Bhd, Wan Ahmad Syahid Wan Norudin dan Pengarah Mekar Angkut Sdn Bhd, Khairul Anam Che Ibrahim serta beberapa ahli korporat lain.

Sumbangan berupa keperluan peribadi dan makanan ringan itu telah diserahkan kepada wakil Pejabat Sultan Kelantan, Mejar Jeneral (B) Dato’ Mohd Zulkifli Mohd Zahir di Istana Balai Besar di sini semalam.

Hadir sama dalam majlis penyerahan berkenan Setiausaha Sulit Kanan Sultan Muhammad V dan Pegawai Protokol serta Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Kelantan, serta beberapa pegawai dan kakitangan Pejabat Sultan Kelantan.

Menurut kenyataan rasmi yang disiarkan di Facebook Media Pejabat Sultan Kelantan, sumbangan tersebut akan diagihkan terus kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri Kelantan.

Terdahulu, sumbangan kurniaan peribadi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V juga telah disalurkan bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat bencana tersebut.

“Bantuan ini menunjukkan komitmen berterusan daripada pelbagai pihak untuk memastikan kesejahteraan rakyat yang sedang berdepan kesukaran akibat banjir,” lapor Media Pejabat Sultan Kelantan itu lagi. – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -