
KUALA LUMPUR: Pindaan definisi hukum syarak dalam Seksyen 2 yang mengehadkan kepada empat mazhab utama Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi disifatkan sebagai langkah mengundur ke belakang.
Menurut Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa), pindaan tersebut berpotensi menyempitkan ruang ijtihad dan menyukarkan pentadbiran undang-undang Islam dalam menghadapi isu-isu moden.
“Kalau kita ikut definisi sebelum ini dia lebih umum tidak mengikat kepada empat mazhab ini.
“Tadi Yang Berhormat Timbalan Menteri sebut kita nak sesuaikan dengan perubahan yang lebih kontemporari, tapi ini mengundur ke belakang. Sepatutnya definisi hukum syarak itu lebih terbuka, bayangkan kalau dihadkan hukum syarak itu hanya kepada empat mazhab itu sahaja.
“Jadi kalau dalam empat mazhab ni mana-mana kitab pun kita tak akan jumpa perbincangan tentang hukum dan pecahan-pecahan tentang zaman artificial intelligence (AI) sebagai contoh.
“Hukum tentang fikah perubatan tak akan jumpa dalam mazhab Syafie, Maliki, Hambali ataupun Hanafi. Jadi mufti nak buat fatwa, nak rujuk kat mana. Jadi ini saya rasa kita kena kekalkan yang asal tak perlu untuk dibuat pindaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024, di sini, hari ini.
Beliau juga merujuk kepada pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz, dalam kes Lina Joy lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, yang menyatakan bahawa Islam bukan sekadar himpunan dogma ritual, tetapi satu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuk perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral dan kehakiman.
“Jadi kalau nak buat pindaan, pindaan yang ke arah kebaikan yang boleh menyelesaikan permasalahan umat, kalau kita buat begini pindaan definisi hukum syarak kita menjerumuskan umat ini kepada satu permasalahan baru selepas mufti pikat empat mazhab ni sahaja, sedangkan definisi sebelum ini hukum syarak itu lebih terbuka dan lebih inklusif.
“Saya rasa fasal ini tak boleh diterima dan saya yakin Bangi yang ada di sini ahli-ahli parlimen sebelah sana pun tak boleh terima. Jangan pinda, kekalkan yang asal,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











