
KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap Program Desa Lestari yang merupakan inisiatif kolaborasi antara Kementerian Wilayah (KW), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Beliau menyatakan program tersebut sebagai satu langkah yang baik dan bermanfaat kepada koperasi komuniti.
Namun, beliau mengesyorkan agar syarat-syarat program itu lebih fleksibel untuk memberikan peluang yang lebih besar kepada koperasi komuniti, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Saya tengok syarat itu kalau boleh difikirkan supaya kadang-kadang syarat itu memerlukan koperasi yang dah buat dalam keadaan koperasi ni kalau kalau komuniti saham itu nak ambil daripada orang kampung sangat sikit.
“Jadi oleh kerana itu cuba timbangkan dari segi saham bukan jadi syarat yang sangat besar. Projek permulaan itu bukan jadi syarat yang sangat besar,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau turut menyarankan supaya fokus program itu lebih menjurus kepada projek yang mempunyai impak tinggi dan jangka panjang, khususnya dalam sektor sekuriti makanan.
“Jangan hanya tumpu kepada hasil yang boleh dituai dalam setahun sahaja. Sebaliknya, utamakan projek yang berterusan seperti tanaman kelapa dan kelapa sawit yang boleh memberi manfaat untuk tempoh tiga tahun atau lebih,” katanya.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dalam jawapannya memberitahu, Program Desa Lestari, yang dilaksanakan sejak 2013, telah melibatkan 165 kampung dengan syarat utama keperluan koperasi dan pelan perniagaan yang mantap.
Menurutnya, program itu telah berjaya meningkatkan pendapatan koperasi dan kampung, serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk dan belia kampung. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











