
JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor meminta Kerajaan Pesekutuan menyalurkan bantuan dan melunaskan peruntukan tebatan banjir sebagaimana diputuskan serta menunaikan amanah demi kesejahteraan semua pihak.
Ketua Penerangan PAS Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, tindakan segera itu perlu bagi mengurangkan risiko terhadap rakyat dalam menghadapi banjir.
“Fenomena Monsun Timur Laut membawa jumlah hujan yang banyak ke beberapa negeri di Malaysia terutamanya Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang boleh mengakibatkan banjir besar.
“Situasi banjir besar saban tahun yang berlaku di Kelantan, Terengganu, Kedah dan beberapa negeri tidak seharusnya dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak.
“Keadaan ini seharusnya dijadikan sebagai titik pertemuan untuk membina jalinan sebagai tanda prihatin dan tanggungjawab bersama daripada semua.
“Perasaan tanggungjawab ini akan menjadikan semua pihak bertindak untuk mencari solusinya dan bukan untuk perlekeh atau mengata terhadap pihak yang lain,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, ujian dan musibah adalah perkara tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan yang akan datang dalam pelbagai keadaan.
“Ada ketikanya ia didatangkan dengan sesuatu yang tidak disukai seperti ditimpa penyakit atau kemiskinan.
“Ada ketikanya pula ia menjadi cita-cita dan impian manusia seperti menjadi kaya atau berkuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











