TMK2025: 100 acara pelancongan libat semua daerah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak 100 acara pelancongan telah dijadualkan melibatkan di 12 daerah di negeri ini sebagai pengisian sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, di peringkat negeri menerusi Kedah Tourism, pelbagai program disusun termasuk berskala nasional dan antarabangsa.

Antaranya jelas beliau, ‘Kedah Lion Dance Festival’ yang dijadualkan pada Februari 2025, Temasya Sukan Sungai Antarabangsa (Jun 2025), Pesta Mempelam Negeri Kedah (Mei hingga Julai), Pedu Festival (Ogos 2025), Carnival Jerami Negeri Kedah dan Experience Kedah Floria Citrawarna.

“Jika itu tidak mencukupi, kita juga merancang untuk mengadakan  ‘International Islamic Festival 2025’, ‘Kedah MyKampung’ yang melibatkan para pelajar antara bangsa, ‘Pesta Makanan Tradisional Kedah’, ‘Jom Beraya di Kedah’ dan beberapa lagi.

“Seperti mana dinyatakan Menteri Besar, sebahagian daripada RM5.81 juta yang diperuntukkan kepada portfolio saya, adalah untuk membangunkan Galeri Perang Musuh Bisik. Insya-Allah pembangunan galeri ini juga akan dimulakan pada masa yang terdekat.

“Butiran lanjut mengenainya akan saya umumkan apabila tiba masanya nanti,” jelas beliau pada sesi ucapan pergulungan, sempena Sidang DUN Kedah, semalam.

Dalam pada itu kata Dato’ Salleh lagi, pihaknya sedang berusaha untuk mewujudkan sebuah Kompleks Seni di Kedah, di mana di tempat itu akan dihimpunkan segala karya seni dan seniman, sama ada yang lama mahupun baharu.

Termasuk juga katanya, seni catan, seni kraf, seni muzik, seni puisi, seni anyam hingga ke seni kulit.

“Kita juga akan bangunkan Pantai Leman di Kuala Kedah yang dilihat berpotensi dijadikan destinasi pelancongan baharu, yang akan menjadi kegilaan baharu para pengunjung.

“Sungguhpun begitu, segala perancangan itu turut mengambil kira faktor cuaca kerana kita sedia maklum, cuasa sangat tidak menentu.  Walau bagaimanapun di Kedah pada kelazimannya, musim panas dan kemarau selalunya bermula Januari sehingga Jun atau Julai.

“Mana kala musim hujan selalunya bermula September hingga Disember,” jelasnya yang juga ADUN Kubang Rotan.

Justeru itu ujarnya, sebahagian besar program ‘outdoor’ akan ditumpukan pada musim kemarau, manakala program-program pada hujung tahun kebanyakannya, akan bersifat ‘indoor’, walaupun tidak semua.

“Dengan segala persiapan yang dibuat ini, kita berharap TMK 2025 benar-benar mengangkat sektor pelancongan Kedah ke aras baharu. Tetapi semua itu bergantung pada sejauh mana kebersamaan kita dalam menjayakannya,” ujarnya.

Beliau berharap semua pihak membantu menambahkan lagi sinar TMK 2025 dengan pelbagai inisiatif dapat diadakan bagi menyerlahkan seri sambutan. – HARAKAHDAILY 28/11/2024

- Advertisement -