Banjir: Penduduk Titi Besi DUN Guar Sanji terjejas

- Advertisement -

ARAU: Kampung Titi Besi dalam DUN Guar Sanji di sini mencatatkan 80 peratus kawasan terjejas dengan paras air mencecah pinggang di beberapa tempat berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari yang mengakibatkan banjir.

- Advertisement -

ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim sehubungan itu, bertungkus-lumus memindahkan penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Arau, di sini, pagi tadi.

Turut bersama membantu adalah Jawatankuasa Pemuda PAS DUN Guar Sanji, Pemuda PAS Cawangan Kampung Titi Besi dan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKM) Titi Besi.

“Hujan lebat berterusan sehingga hari ini menyebabkan banyak rumah dinaiki air. Penduduk amat digalakkan berpindah ke PPS bagi keselamatan, semoga semua mangsa banjir diberi ketabahan dan kesabaran menghadapi ujian ini,” ujarnya.

Setakat ini katanya, 80 peratus penduduk terjejas telah berpindah ke PPS, sementara sebahagian lagi memilih untuk tinggal bersama ahli keluarga di kawasan lain, namun ada penduduk enggan berpindah kerana memiliki rumah bertingkat.

Kampung Paloh dan Kampung Jelempok yang telah surut banjir sebelum ini bagaimanapun dijangka kembali naik, jika hujan berlarutan hingga malam.

Operasi diusahakan Mohd Ridzuan yang juga Exco Kerajaan Negeri Perlis itu turut melibatkan pemindahan pesakit terlantar dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Mohd Ridzuan, usaha memasang pam oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah dimohon bagi membantu mengurangkan limpahan air di kawasan tersebut.

Sementara itu,Khidmat Malaysia Negeri Perlis mengaktifkan Bilik Operasi Banjir bagi menyelaras bantuan, termasuk mendirikan Dapur Rakyat.

Pasukan itu difahamkan turut menggerakkan Pusat Agihan Bekalan untuk memastikan keperluan mangsa dapat disalurkan secara teratur dan menyeluruh.

Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana ini, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menerusi akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 28/11/2024

- Advertisement -