
KUALA LUMPUR: Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun), mendesak kerajaan menyemak semula kadar bantuan kepada mangsa serangan binatang buas yang disifatkan tidak lagi relevan dengan kos semasa.
Beliau menekankan bahawa langkah itu penting untuk memastikan kebajikan mangsa terpelihara.
Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas, yang dikemas kini pada 19 November 2021, bertujuan menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa atau waris terdekat.
Namun, Abd Ghani mempersoalkan sama ada tabung itu hanya dikhususkan untuk klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau terbuka kepada semua mangsa serangan binatang buas.
Selain itu, beliau menyifatkan kadar bantuan RM200 bagi rawatan kecederaan sebagai tidak memadai, memandangkan kos rawatan di klinik swasta dan harga ubat semakin meningkat.
“Di Parlimen Jerlun, gangguan anjing liar di beberapa kampung di Kodiang menyebabkan penduduk bimbang keselamatan diri dan anak-anak mereka. Aduan telah dibuat kepada pihak berwajib, tetapi tiada tindakan memuaskan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menggesa kadar pampasan RM10,000 bagi kes kematian akibat serangan binatang buas dikaji semula.
Tambahan pula katanya, syarat pengesahan kecederaan dan jenis binatang buas oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) atau Jabatan Perikanan dianggap terlalu ketat dan tidak praktikal.
“Tidak mungkin PERHILITAN atau Jabatan Perikanan berada di tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan segera. Pemeriksaan dan rawatan biasanya dilakukan oleh doktor di klinik swasta atau hospital kerajaan. Oleh itu, saya mencadangkan pengesahan itu ditukar kepada doktor yang merawat mangsa,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 28/11/2024











