
KOTA BHARU: Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2024 yang bermula Khamis lepas melabuh tirai pagi ini.
Sepanjang persidangan tersebut tujuh Rang Undang-undang (RUU) dilulus dengan sokongan ahli-ahli Dewan.
Antaranya RUU Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2024 bagi kawalan dan pelesenan dibentang Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hilmi Abdullah.
RUU tersebut dilulus semalam dengan sokongan semua wakil rakyat selepas perbahasan beberapa Adun termasuk pembangkang.
Selain itu Rang Undang-Undang Sumber Air (Pindaan) 2024 untuk memperkukuhkan pengurusan dan kawal selia sumber air melalui pindaan beberapa peruntukan dalam Enakmen Sumber Air 2019.
RUU tersebut dibentang Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Dato’ Dr Izani Husin. (Foto atas)
Dr Izani berkata, enakmen itu berfungsi sebagai kerangka perundangan utama yang mengawal selia pengurusan, perlindungan, pengeluaran, pengagihan, penggunaan dan pemuliharaan sumber air secara mampan.
Katanya RUU terbabit memperkenalkan pindaan penting termasuk Seksyen 2 dengan memasukkan definisi baharu bagi ‘air boleh guna’ yang lebih menyeluruh dan sesuai dengan perkembangan semasa.
Selain itu, Seksyen 12 turut dipinda dengan menambah subseksyen (G) dan (H), yang memperluaskan definisi kawasan kitaran sumber air termasuk proses-proses yang berkaitan dengannya.
Rang Undang-Undang Sumber Air (Pindaan) 2024 mendapat sokongan penuh daripada Ahli Dewan dan diluluskan sebulat suara.
Speaker DUN Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sidang DUN kali ini membahas dan meluluskan tujuh RUU.
“Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang terlibat secara aktif dalam perbahasan.
“Dengan menggunakan kuasa yang ada, saya selaku Speaker Dewan mengumumkan bahawa persidangan Dewan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024




















